Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Majlis Sambutan Anak Merdeka yang berlangsung di Memorial Tun Hussien Onn, Jalan Dato’ Onn, Kuala Lumpur telah menghimpunkan anak-anak merdeka yang lahir pada 31 Ogos yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum dan generasi dalam usaha untuk menyuburkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat.
Majlis tersebut diadakan bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 anjuran Arkib Negara Malaysia (ANM) dan turut mendapat kerjasama strategik daripada Persatuan Warisan Anak Merdeka Kuala Lumpur dan Selangor.
Sambutan Anak Merdeka ini bertujuan untuk meraikan hari kelahiran selain pelbagai aktiviti santai yang menarik bersama-sama keluarga.
Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang berharap agar program bersifat kemasyarakatan ini melalui pelibatan ibu bapa dan anak-anak dapat menyuburkan perpaduan dan semangat patriotisme. Tambah beliau semasa berucap dalam majlis tersebut,
Hal ini secara tidak langsung dapat mendekatkan masyarakat dengan Arkib Negara Malaysia melalui program pengembangan dan advokasi untuk mengukuhkan perpaduan, keperibadian, jati diri rakyat dan identiti nasional sesuai dengan aspirasi Dasar Perpaduan Negara.
Beliau turut menyarankan masyarakat agar menjadikan 11 buah memorial, galeri, pustaka dan rumah kelahiran sebagai lokasi lawatan dan rekreasi keluarga untuk beriadah sambil menerapkan semangat patriotisme kepada anak-anak. Memorial ini juga menurut beliau boleh diakses secara maya.
Beliau berharap agar usaha ini mendapat sokongan daripada semua agensi kerajaan, swasta dan pempengaruh bagi menyebarluaskan dan memasyarakatkan sejarah tokoh negarawan kepada rakyat.
Antara aktiviti menarik yang disajikan semasa sambutan tersebut termasuklah acara lawatan berpandu ke Memorial Tunku Abdul Rahman, Memorial Tun Hussein Onn dan Memorial Negarawan, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, pertandingan susun suai gambar, mencari harta karun anak-anak merdeka bersama-sama keluarga dan orang awam di Kompleks Arkib Perdana Menteri dan Arkib Negarawan (KAPMAN), sesi perkongsian pengalaman, deklamasi sajak dan persembahan muzik yang bertemakan Hari Kebangsaan.