Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangUlu Kinta – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menerusi Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) telah menganjurkan Program Jom Baca @Chadak yang berlangsung selama dua hari mulai 3 September hingga 4 September 2023 di Kampung Chadak, Ulu Kinta, Perak. Program ini telah dirasmikan oleh YBrs. Puan Norihan Mohamed Naim, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan), KPN.
Bertemakan “Komuniti Baca Komuniti Bijak’, program kelolaan PNM ini diadakan bertujuan untuk memasyarakatkan budaya membaca dalam kalangan komuniti orang asli, di samping mengeratkan hubungan silaturahim sesama masyarakat dengan memperkukuh interaksi sosial dalam komuniti. Selain itu, program ini juga bertujuan menyokong objektif Malaysia MADANI bagi masyarakat mencapai kesejahteraan dan kebahagiaan melalui platform seumpama ini.
Lebih 500 orang pengunjung telah berkunjung ke program ini yang menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti pameran agensi, sesi didik hibur, demo masakan, sukan rakyat, pemeriksaan kesihatan dan gigi sihat, pertandingan karaoke dan banyak lagi. PNM berhasrat untuk mengembangkan lagi program ini di penempatan orang asli di seluruh Semenanjung Malaysia.
PNM berharap penganjuran program ini dapat dimanfaatkan oleh masyarakat setempat khususnya masyarakat orang asli untuk terus memupuk budaya membaca, mengukuhkan tapak integrasi perpaduan, mencerap ilmu dan pendidikan serta memajukan diri dari segi sosio ekonomi.