Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangLenggong – Selepas berjaya menarik kira-kira 3,000 orang pengunjung pada tahun lepas, TAPAUfest akan kembali ke lokasi yang sama, iaitu Resort Tasik Raban, pada 7 Oktober dan 8 Oktober 2023.
Dengan berlatarbelakangkan tasik yang indah dan gunung-ganang, TAPAUfest 2023 menjemput komuniti indie Asia Tenggara untuk #LepakLenggong bersama-sama para artis indie ternama, dan berpotensi dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand dengan tema #SerumpunBerpesta.
Menurut Pengarah Kreatif TAPAUasia Sdn. Bhd., Ahmad Faris cuba menjadikan TAPAUfest lebih besar setiap tahun, pihak beliau mengambil keputusan untuk memberikan lebih perhatian pada perkara-perkara kecil, terutamanya dalam kurasi bagi membawa komuniti indie dan rakyat Lenggong terlibat sama.
“TAPAUfest 2023 turut memberikan penghormatan kepada wanita yang membentuk “adegan” ini, yang dapat dilihat menerusi kerjasama mereka dengan Newruul, seniman muda di sebalik rekaan poster dan merchandise rasmi, sementara barisan di PENTAS (pentas muzik) pula menampilkan ramai bakat wanita yang sedang menempa nama,” jelas Ahmad.
Persembahan hari pertama akan dimulakan oleh kugiran “Midwest Emo”, Mascot yang menawarkan aksi bertenaga, serta agresif dengan lirik terapeutik sebelum diteruskan oleh kumpulan reggae dub eksperimental asal Indonesia, Rub Of Rub, sekali gus melengkapkan nuansa mempesonakan ketika matahari terbenam.
Membuka persembahan malam hari pertama adalah duo elektronik Wobbebong yang dianggotai dua orang gadis. Bersenjatakan tenaga dan semangat ingin mencuba, Wobbebong pasti akan membawa keseronokan dengan sentuhan eksentrik dalam set mereka.
Kemudian, persembahan diteruskan oleh kugiran legenda dari Singapura, Force Vomit yang baru menyambut ulang tahun ke-20 album kedua mereka, Give It Up For The Trustfund Rockers dalam bentuk vinil. Berbekalkan bunyian Garage Surf, mereka pasti tidak sabar untuk menghidupkan kembali kisah cinta dengan komuniti peminat indie Malaysia.
Seterusnya, kumpulan Rock n’ Roll Jemson akan mengambil alih pentas dengan memberikan penghormatan kepada era keemasan “rock kapak” Malaysia sambil menyuntikkan bunyi moden, dan unsur humor mereka yang tersendiri.
Tirai hari pertama ditutup oleh penyanyi muda Indonesia, Nadin Amizah yang semakin memenangi hati jutaan peminat, terutamanya dari Indonesia dan Malaysia.
Dengan karya terbaharunya, Rayuan Perempuan Gila, dan Semuanya Dirayakan mendapat sambutan hangat, persembahan Nadin yang berlatarkan tasik nanti pasti menjanjikan pengalaman yang cukup istimewa.
Persembahan hari kedua pula dimulakan oleh salah sebuah kugiran dari Indonesia yang menarik perhatian pada masa ini, iaitu The Jansen. Dikenali sebagai kugiran punk mid-tempo era 70-an dari Bogor, The Jansen meledak selepas album mereka, Banal Semakin Binal terbit tahun lepas.
Seterusnya, Local Thrash Heroes dari Ipoh, Muck akan naik ke pentas sebagai penghormatan kepada wira tempatan. Ditubuhkan pada tahun 1994, band ini dianggap sebagai antara perintis ranah indie Malaysia.
Sementara itu, Door Plant bakal melakar sejarah sebagai kugiran pertama dari Thailand yang menghiasi pentas TAPAUfest dengan membawa irama lepak, dan santai ke Malaysia yang menjadi salah satu destinasi kembara tournament mereka.
Dengan membawakan genre neo-folk, Bayangan yang biasa bergerak secara solo, kini ditemani kugiran lengkap yang pasti menampilkan persembahan memukau.
PENTAS diteruskan dengan penanda generasi masa ini dari Indonesia, iaitu Lomba Sihir. Pengunjung pasti tidak mahu melepaskan peluang meraikan karya mereka dengan menari, serta tersenyum sambil hanyut bersama-sama dalam karya cinta dan benci.
Persembahan TAPAUfest 2023 akan diakhiri anak kelahiran Borneo yang menjadi perintis awal dalam pergerakan muzik indie. Pada tahun 2009, lagu tunggalnya yang popular, iaitu Kantoi dan Bitter Heart telah membawa beliau jauh hingga ke peringkat antarabangsa.
Dengan pengalaman pernah tampil di NPR Music Tiny Desk Concerts pada tahun 2020, kemunculan Zee Avi mendendangkan lagu-lagu melankolik adalah cara paling indah untuk melabuhkan tirai TAPAUfest 2023.
Persembahan muzik di PENTAS hanya akan bermula pada jam 5 petang bagi memberikan masa kepada pengunjung festival untuk meneroka keajaiban Lenggong yang penuh dengan keindahan alam, serta destinasi makan dan minum.
Pengunjung juga boleh berteduh daripada matahari sambil belajar, dan berkongsi pengetahuan di BENGKEL, atau terokai karya pembikin filem indie di LAYAR yang dikurasi dengan kerjasama Kaki Seni.
Sementara itu, pengunjung boleh menghilangkan dahaga dan mengisi perut dengan sajian Malaysia terbaik yang dihidangkan oleh peniaga dari Lenggong, dan trak makanan dari seluruh Malaysia di WARUNG.
Bagi mereka yang suka membeli-belah atau mengumpul rekod, merchandise ataupun karya seni, PASAR menghimpunkan karya artis dan jenama indie sambil dihiburkan oleh penyiar (DJ) di pentas mini.
Menariknya, satu perkara yang membezakan TAPAUfest dengan festival seni lain adalah peluang untuk berkhemah selama dua malam di Resort Tasik Raban, dan merasai sepenuhnya pengalaman di Lenggong.
Para pengunjung boleh menempah tapak khemah di Santuy Campsite, dan menyertai sesi unggun api, dan persembahan akustik. Mereka yang inginkan pengalaman lebih minimal boleh mengikat hammock di antara dahan pokok menerusi Outsiders Campout.
TAPAUfest 2023 adalah pengalaman festival oleh TAPAUasia dengan kerjasama Majlis Daerah Lenggong, Ipoh Social Club, Verssusika serta rakan rasmi Vans, Yoodo, Batik Air, Era, Gempak dan Syok. Acara ini turut disokong oleh Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia (KKD) melalui MyCreative Ventures (MYCV).