Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) telah mengadakan sesi bersama media bersempena kempen Ini Batik Malaysia di Laman Wau, Kompleks Kraf, Kuala Lumpur.
Sesi yang diadakan ini bermatlamat untuk memberikan pendedahan, kesedaran dan pengetahuan mengenai batik Malaysia kepada rakan media melalui sesi taklimat batik Malaysia, peragaan batik, pameran dan demontrasi batik canting, batik terap, batik sutera saring serta batik alternatif.
Bertepatan dengan pengistiharan Hari Batik Malaysia pada 3 September setiap dan penguatkuasaan pekeliling Surat Edaran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Pemakaian Pakaian Batik Malaysia Semasa Waktu Bekerja Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan bertarikh 21 Ogos 2023, Kraftangan Malaysia mempergiatkan usaha mempromosikan serta membudayakan pemakaian batik Malaysia dalam kalangan masyarakat.
Pada majlis yang sama turut diadakan acara menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kraftangan Malaysia dengan tiga persatuan pengendali umrah iaitu Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan haji (PAPUH), Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA MALAYSIA) serta Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA). Memorandum persefahaman yang dimetrai ini bertujuan untuk menggalakkan pemakaian batik kepada jemaah umrah Malaysia dalam usaha merakyatkan pemakaian batik Malaysia dan mempromosikan kraf tekstil batik ke luar negara.
Kraftangan Malaysia sentiasa berusaha memastikan industry kraf di Malaysia terus mendapat sambutan dan berkembang dari semasa ke semasa. MOTAC dan Kraftangan Malaysia menyeru agar rakyat Malaysia terus menyokong dan memebeli produk keluaran tempatan bagi membantu industry kraf kekal berdaya saing.
Turut hadir dalam acara tersebut ialah YBhg. Datuk Mohd Zamri Mat Zin, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan YBrs. Puan ‘Ainu Sham Haji Ramli, Ketua Pengarah, Kraftangan Malaysia.