12 September 2023, 11:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Setelah kejayaan filem Geran yang ditayangkan pada tahun 2019, Layar Pictures Sdn. Bhd. muncul dengan filem terbaharu berjudul Walid. Mengangkat isu penculikan kanak-kanak, Walid merupakan filem aksi lasak yang sarat dengan unsur seni mempertahan diri, iaitu silat.

Sebagaimana Geran, Walid juga diterbit dan diarahkan oleh Areel Abu Bakar, yang masih mengangkat seni silat sebagai unsur aksi lasak kerana beliau memang meminati ilmu seni mempertahan diri ini.

Areel Abu Bakar selaku pengarah, penerbit, penerbit eksekutif, penulis lakon layar, sinematografer, pereka bentuk produksi, dan penyunting filem Walid.

“Pada saya filem adalah salah satu medium untuk mempromosikan sesuatu perkara. Oleh sebab itu saya jadikan filem Walid ini sebagai medium menarik lebih ramai anggota masyarakat, terutama sekali anak-anak muda mempelajari silat,” ujar Areel.

Semasa sidang media Majlis Malam Gala dan Tayangan Perdana Filem Walid di GSC Starling Mall pada 5 September lalu, Areel menegaskan bahawa Walid bukan sekadar sebuah filem aksi lasak semata-mata, tetapi turut mengangkat isu kemanusiaan, dan kenegaraan dengan menerapkan seni persilatan yang merupakan warisan budaya sebagai “ramuan” utama.

“Filem terbaharu arahan saya ini menyorot soal pentingnya pendidikan. Selain itu, Walid juga memaparkan jenayah perdagangan manusia, kanak-kanak digunakan untuk menjadi komoditi dalam pasaran gelap global,” jelas Areel.

Selain pelakon hebat seperti Namron sebagai Pak Ku, Taiyuddin Bakar (Sutun) dan Megat Sharizal (Walid), filem ini turut dibintangi Fad Annuar (Yakpat), Feiyna Tajudin (Kinang), Puteri Qaseh (Aisha), Shamputra (Zuki), Yusran Hasim (Hamzah), dan Jebar Zulfar (Lela).

Namron sebagai Pak Ku, antara watak utama filem Walid arahan Areel Abu Bakar.

Jelas Areel lagi, penggambaran Walid dijalankan di Kedah pada sekitar Februari 2022, iaitu ketika negara baru memasuki fasa endemik wabak maut COVID-19. Tambah beliau, Walid ialah filem istimewa kerana rata-rata barisan pelakonnya ada asas seni mempertahan diri.

“Saya memang memilih pelakon yang ada ilmu silat kerana hal ini bergantung pada keperluan skrip lantaran Walid sebuah filem aksi lasak. Boleh dikatakan 99 peratus pelakon yang terlibat dalam aksi pertarungan ialah pesilat sebenar, dan itu yang menjadi kelebihan Walid untuk menarik minat penonton,” ujarnya yang berharap penonton dapat menerima karya baharunya ini sebagaimana yang terdahulu.

Selain terhibur dengan cerita yang dipaparkan, Areel berharap penonton dapat melihat sisi lain, terutama sekali dalam mengangkat warisan seni budaya tempatan sehingga ke luar negara. Kemampuan menarik perhatian pihak luar terbukti apabila Walid ditayangkan di Amerika Syarikat (AS).

Di AS, Walid ditayangkan di Cine Village, New York, Amerika Syarikat pada 28 Julai hingga 3 Ogos 2023, dan di Leammle Glendale, Los Angeles pada 11 Ogos hingga 17 Ogos 2023).

Sementara itu, Namron yang turut hadir memberitahu antara faktor beliau bersetuju menjadi salah seorang pelakon utama filem Walid adalah kerana plot yang menarik.

“Saya melihat Areel sebagai pengarah yang sangat berbakat dan mampu menghasilkan filem yang memenuhi selera penonton. Bagi saya, beliau seorang pengarah yang tenang, tetapi ada semangat seorang perajurit Malaysia yang tidak pernah menyerah kalah,” katanya.

Areel Abu Bakar (duduk kiri) bersama-sama sebahagian daripada karyawan filem Walid.

Turut hadir Megat Sharizal, Taiyuddin, Fad, dan Puteri Qaseh, serta Khoharullah Majid sebagai koreografer adegan pertarungan. Khoharullah juga merupakan pelakon utama Geran yang memegang watak Ali.

Akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula pada 14 September 2023, Walid membawa kisah seorang guru yang baik hati, dan berdedikasi, iaitu Walid yang secara sukarela mengajar kanak-kanak yang kurang bernasib baik di sebuah kampung.

Bagi Walid, setiap kanak-kanak mempunyai masa depan yang cerah di hadapan mereka. Walau bagaimanapun, segala-galanya berubah selepas beberapa orang pelajar beliau, termasuk Aisha, hilang dari kelas.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.