12 September 2023, 12:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Sebanyak 150 orang pelukis antarabangsa dari 15 buah negara yang berada di Perlis bagi menyertai program Perlis Art Bridge Exhibition : International Art Camp 2023 baru-baru ini tidak melepaskan peluang untuk turut serta melukis di sekitar kawasan Projek Diraja Transformasi Kampung Warna Warni Perkampungan Warisan Nelayan Seberang Ramai, Kuala Perlis.

Tambah istimewa apabila Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berangkat bagi memeriahkan lagi kunjungan para pelukis tersebut.

Menurut Pengasas Art Expo Malaysia serta City Art Gallery, Datuk Vincent Sim Tiak Choo yang menganjurkan program itu menyatakan rasa kagum dengan Kampung Warna-Warni yang merupakan hasil cetusan ilham  DYTM Tuanku Raja Muda Perlis dan DYTM Tuanku Raja Puan Muda Perlis yang juga merupakan Penaung Diraja Art Expo Malaysia. Baginda telah berjaya mengubah penempatan tersebut untuk menjadi sebuah tarikan pelancongan baharu, dengan pelbagai ikonik seperti jambatan dan bangunan berwarna warni.

Tambah beliau, kunjungan peserta yang hadir dalam program anjuran City Art Gallery dengan kerjasama Kerajaan Negeri, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) itu bertujuan untuk memperkenalkan kumpulan pelukis akan keindahan dan keunikan Kampung Warna-Warni ini serta memberikan inspirasi kepada para pelukis bagi menghasilkan karya mereka berdasarkan pemandangan kampung itu khususnya dalam sama-sama membantu mempromosikan kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2025.

Menurut Vincent lagi, “Pelbagai aktiviti sampingan perlu dipergiatkan lagi terutama di kawasan jeti, dan disarankan kampung ini turut menjadi kampung seni atau mewujudkan satu ruangan seni untuk artis seni lukis berkunjung dan berkarya di kawasan tersebut”.

Rata-rata pelukis antarabangsa yang hadir menyatakan bahawa Kampung Seberang Ramai ini sebuah kampung yang sangat unik, berwarna-warni dan penduduknya sangat peramah .

Peserta juga dapat merasai pengalaman yang sangat hebat dan sangat gembira dapat meluangkan masa melawat kampung ini.

Pada petang yang sama tiga orang pelancong dari Bavaria, Jerman yang secara kebetulan melawat kampung tersebut apabila ditemu ramah memuji keindahan kampung kecil tersebut yang indah dengan masyarakat setempat yang sangat ramah.

Sebanyak 150 orang pelukis antarabangsa dari 15 buah negara melukis di sekitar Kampung Warna Warni Kuala Perlis.

Namun, mereka menyarankan agar lebih banyak lagi bahan promosi di sekitar kawasan jeti ke Pulau Langkawi dan stesen bas Kuala Perlis untuk mempromosikan Kampung Warna Warni Seberang Ramai dan Kampung Wai yang berdekatan kepada pelancong yang menggunakan khidmat pengangkutan tersebut untuk singgah sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.

Tambah mereka, para pelancong tempatan atau luar negara boleh memanfaatkan waktu menunggu untuk menaiki feri atau bas dengan melawat ke kawasan-kawasan menarik ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.