Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBangi – Jabatan Warisan Negara (JWN) dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan Persidangan Kebangsaan Warisan Kebudayaan Tidak Ketara 2023 pada 11 September hingga 13 September 2023 dengan topik “Perlindungan Warisan Kebudayaan Tidak Ketara yang Hampir Pupus” di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), UKM.
Persidangan yang berlangsung pada sebelah pagi mengupas tentang beberapa perkara berkait yang dibentangkan oleh tiga orang panel, iaitu YBrs. Dr. Tan Awang Besar (Setiausaha Bahagian Dasar Kebudayaan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya), YBrs. Dr. Eyo Leng Yan (Pengarah Bahagian Warisan Tidak Ketara, Jabatan Warisan Negara) dan YBrs. Dr. Ainul Wahida Radzuan (Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Warisan, Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Universiti Malaysia Kelantan), serta YBrs. Dr. Patricia Ann Hardwick, (Pensyarah Kanan Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris) selaku moderator.
Menurut YBrs. Dr. Tan Awang Besar, pihak berkepentingan perlu memastikan orang awam mengetahui tentang sesuatu perkara yang boleh memberikan ancaman terhadap warisan.
Saya percaya bahawa tidak ramai yang boleh menjawab jika kita bertanya kepada komuniti di luar sana tentang ancaman tersebut.
Beliau turut menyatakan bahawa di bawah Akta Warisan Kebangsaan Akta (645), perkara yang berkaitan dengan warisan kebudayaan tidak ketara hanya disebut sedikit sahaja. Oleh itu, akta berkaitan untuk perlaksanaan perlu dititikberatkan bagi melestarikan warisan kebudayaan tidak ketara di negara ini.
Antara cadangan dasar baharu kebudayaan warisan tidak ketara yang dicadangkan termasuklah Pesuruhjaya Warisan memiliki pejabat sendiri untuk menjalankan fungsinya dan kedudukan Ketua Pengarah JWN perlu dikaji semula.
Sementara itu, menurut Dr. Eyo Leng Yan, kriteria yang boleh dikategorikan sebagai warisan kebudayaan tidak ketara bersifat tradisional; hidup dan diiktiraf oleh masyarakat bukan hanya sebagai hak milik mereka, tetapi sebagai identiti sesebuah masyarakat itu dan ilmu serta kemahiran yang diperturunkan oleh satu generasi kepada generasi lain.
Beliau berkata bahawa warisan kebudayaan yang hampir pupus termasuklah makanan, bahasa dan persuratan, permainan tradisional, seni halus dan kraf, adat, dan seni persembahan. Menurut beliau,
Generasi muda pada zaman sekarang memang tidak tahu tentang makanan yang pernah dimakan, yang pernah dimasak oleh nenek moyang kita dahulu.
Tambahnya lagi, terdapat bahasa yang hampir pupus seperti bahasa Pengap di Sarawak, dan bahasa-bahasa orang Asli.
Selain itu, sebanyak 517 jenis warisan kebudayaan tidak ketara pelbagai kategori juga telah mendapat pengiktirafan daripada JWN, seperti seni persembahan (191), makanan (213), serta permainan tradisi dan pertahanan diri (30).
Dr. Ainul Wahida Radzuan yang mengkaji warisan kebudayaan tidak ketara bagi Adat Perpatih pula berkata bahawa komuniti Adat Perpatih itu sendiri yang merupakan kunci utama bagi meneruskan dan memelihara warisan kebudayaan Adat Perpatih di Negeri Sembilan.
Oleh itu, semua pihak termasuklah badan bukan kerajaan dan institusi pendidikan mestilah memainkan peranan masing-masing bagi memantapkan dan memelihara warisan budaya tidak ketara yang sedia ada.