Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBangi – Persidangan Kebangsaan Warisan Kebudayaan Tidak Ketara 2023 yang berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada hari ini mengupas tentang makanan warisan yang hampir pupus.
Para panel yang mengupas perkara yang berkaitan dengan topik tersebut ialah YBrs. Dr. Eyo Leng Yan (Pengarah Bahagian Warisan Tidak Ketara, Jabatan Warisan Negara) dan YBrs. Dr. Mohd Faizal Musa yang merupakan Felo Penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM, manakala YBrs. Dr. Patricia Ann Hardwick (Pensyarah Kanan Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris) pula selaku moderator.
Menurut Dr. Eyo Leng Yan, antara makanan warisan kebudayaan tidak ketara yang hampir pupus termasuklah pais ikan keramat, lepat bunga cicha, nasi ulam 44, kebebe, ubi gadong rebus, ikan pindang daun sernia, dan kerabu beko.
Ubi gadong juga merupakan makanan warisan Kelantan dan sangat leceh untuk dibuat. Jika tidak kena cara memasaknya akan menjadi racun, iaitu seseorang itu boleh jatuh sakit dan boleh juga membawa maut.
Beliau turut menyatakan bahawa orang tua-tua pada zaman dahulu tidak menggunakan buku resipi untuk memasak sesuatu makanan. Oleh itu, ilmu memasak sesuatu menu itu akan diturunkan kepada anak mereka yang ingin mempelajari sesuatu masakan warisan tetapi jika anak mereka tidak berminat, makanan warisan itu berkemungkinan boleh pupus pada suatu hari nanti.
Sementara itu, menurut Dr. Mohd Faizal Musa, kerenyahan proses pembuatan merupakan antara faktor makanan warisan hampir pupus. Misalnya, orang Bugis memerlukan masa yang lama untuk menghasilkan burasak, iaitu selama lima hingga enam jam.
Ada juga makanan yang dianggap berisiko seperti bingka ubi gajah, iaitu ubinya beracun dan memerlukan cara yang betul untuk membuang racunnya.
Tambah beliau, terdapat bahan pembikinan makanan yang amat langka seperti nasi ulam 44. Hal ini dikatakan demikian kerana 44 jenis ulam diperlukan bagi menghasilkan nasi tersebut dan ada di antara ulam-ulaman itu tidak lagi dikenali oleh generasi kini.
Oleh itu, antara cadangan Dr. Mohd Faizal Musa supaya makanan warisan tidak pupus termasuklah penjenamaan semula makanan seperti dodol dengan jenama makanan tradisional Malaysia. Apabila terjual sebagai “Makanan Malaysia”, makanan itu berpotensi untuk berkembang dan dapat mengelakkannya daripada kepupusan.