Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBangi – Kejayaan Malaysia diiktiraf pada peringkat dunia dalam bidang Warisan Kebudayaan Tidak Ketara menuntut Malaysia agar sentiasa bersedia dan giat mengadakan kerjasama dengan pelbagai pemegang taruh yang berkaitan termasuklah UNESCO, jabatan atau agensi kerajaan atau swasta, badan bukan kerajaan serta komuniti untuk memelihara dan melindungi Warisan Kebudayaan Tidak Ketara negara untuk terus kekal.
Hal ini bertepatan dengan peranan Malaysia yang berjaya menduduki kerusi UNESCO Intergovernmental Committee for the Safeguarding of the Intangible Cultural Heritage (IGCICH) untuk sesi 2022-2026.
Sehubungan dengan itu, YBhg. Dato’ Roslan Tan Sri Abdul Rahman, Ketua Setiausaha, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dalam ucapannya pada majlis perasmian dan penutupan Persidangan Kebangsaan Warisan Kebudayaan Tidak Ketara 2023 menyatakan harapannya agar hasil pembentangan daripada semua panel yang terlibat dalam kesemua topik dapat memberikan manfaat kepada pelbagai pihak dalam merangka dasar dan hala tuju pemeliharaan dan perlindungan Warisan Kebudayaan Tidak Ketara pada masa akan datang.
Penganjuran ini yang bermula pada 11 September hingga 13 September 2023 yang bertemakan “Kelestarian Warisan Kebudayaan Tidak Ketara” di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia ini menjadi platform transmisi pengetahuan, kemahiran dan nilai warisan oleh pakar, ilmuan dan agensi kerajaan yang bergiat dalam bidang warisan kebudayaan tidak ketara.
Saya yakin dengan sepenuhnya bahawa dengan kesanggupan untuk bekerja secara strategik dan penuh komitmen, kita akan terus dapat memainkan peranan yang penting dalam memastikan hasrat Kerajaan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju pasti tercapai tanpa meninggalkan warisan dan kebudayaan.
Terdahulu, persidangan yang berlangsung selama tiga hari ini mengangkat tiga topik utama, iaitu “Inventori berasaskan Komuniti”, “Warisan Kebudayaan Tidak Ketara dan Komuniti” dan “Perlindungan Warisan Kebudayaan Tidak Ketara yang Hampir Pupus”.
Dalam sesi ketiga, panel ketujuh, iaitu Profesor Madya Dr. Lim Swee Tin, Pakar Budaya yang berbicara tentang “Menora: Kesenian Masyarakat Siam di Ambang Kepupusan” percaya dan yakin dengan sokongan dan kerjasama daripada pelbagai pihak seperti Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia dapat memulihkan kembali seni Menora agar tidak pupus ditelan zaman.
Sementara itu, panel kelapan, iaitu Dr. Mohd. Yuszaidy Mohd. Yusoff dari Fakulti Sains Sosial Kemanusiaan, UKM yang membicarakan tentang “Penglipur Lara Masih Relevan dalam Masyarakat Kini” juga berharap agar warisan seperti ini tidak akan terus hilang dengan perkembangan teknologi digital yang semakin berkembang. Beliau mencadangkan agar pembelajaran secara tradisional dapat disokong dan disesuaikan dengan kaedah terkini.