19 September 2023, 11:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Istanbul – Perlis sentiasa mengalu-alukan sebarang input maklum balas, cadangan yang membina, penambahbaikan secara berterusan dari agensi dan wakil pengusaha pelancongan serta para pengunjung bagi merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri ini sebagai persiapan untuk menjayakan Tahun Melawat Perlis 2024-2025 bermula tahun hadapan.

Demikian menurut siaran media Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis mengenai titah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat melancarkan Promosi Makanan Perlis yang dijayakan di Restoran Malaysia Nur Muhammad Istanbul, Turkiye.

Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda baginda berdua, Yang Amat Mulia (YAM) Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Turut mengiringi baginda ialah Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir; dan Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Datuk Profesor Dr. Zaliman Sauli.

Menu istimewa berupa Kurma Daging Perlis disajikan di restoran yang diuruskan oleh Nur Muhammad Turizm Gida Ve Ticaret Ltd Sti dan dimiliki sepenuhnya oleh GISB Holdings (Malaysia) tersebut di alamat Alemdar Mh, Prof Ismail Gurkan Cd No: 6, 34110 Fatih, Istanbul.

Restoran ini terletak di lokasi yang strategik bagi para pelancong kerana terletak berdekatan dengan Masjid Hagia Sophia, stesen tram Sultanahmet (350 meter) dan Stesen Keretapi Gulhane (400 meter).

Di majlis berkenaan DYTM Tuanku Raja Muda berkenan menyerahkan plak simbolik program anjuran restoran itu dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan BMC Travel Sdn. Bhd. kepada Pengurus Besar Cawangan Turkiye dan Eropah syarikat GISB Holdings iaitu Mohammad Abulfida Nasiruddin.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra menambah bahawa Pelan Induk Perancangan Fizikal Pelancongan Negeri Perlis mengklusterkan 5 sektor Jejak Pelancongan dan mempunyai teras serta strategi bagi setiap satunya terdiri daripada jejak pelancongan eko; jejak pelancongan agro; jejak pelancongan budaya, sejarah, seni dan warisan; jejak pelancongan membeli belah dan makanan; serta jejak pelancongan sukan dan rekreasi.

DYTM Tuanku Raja Muda dan DYTM Tuanku Raja Puan Muda berangkat singgah di Istanbul selama satu malam ketika dalam perjalanan berangkat pulang ke tanah air selepas mengetuai program Jelajah Imu UniMAP ke beberapa buah negara Baltik baru-baru ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.