Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Tahun 2023 kian menuju ke penghujungnya. Kalau masih ada yang belum memperoleh atau mahu melengkapkan memori terindah untuk tahun ini, Konsert Memori Terindah 2023 boleh memenuhi “kekosongan” yang akan melengkapkan kembara hiburan anda.
Hal ini dikatakan demikian kerana Konsert Memori Terindah 2023 yang dibawakan oleh Mutiara Optimum Sdn. Bhd. (Mutiara Optimum), dan diterbitkan oleh One Event Resources tampil dengan barisan pemuzik, serta penyanyi terbaik kolaborasi Indonesia dan Malaysia.
Penyanyi dari Indonesia ialah Ifan Seventeen dan Anggi Marito, sementara dari Malaysia pula ialah Alif Satar dan The Locos. Mereka akan bertemu dan menghiburkan peminat menerusi konsert yang dijadualkan berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 11 November 2023 bermula pada pukul 8 malam.
Adam Hanafi dari Mutiara Optimum menyifatkan Konsert Memori Terindah 2023 yang menggabungkan pemuzik dan penyanyi Indonesia-Malaysia, dengan masing-masing sudah lama memikat hati penggemar ialah acara yang mempunyai nilai tersendiri.
“Konsert Memori Terindah 2023 ialah konsert yang menampilkan kolaborasi pemuzik atau penyanyi dengan kualiti, dan telah memahat memori tersendiri buat peminat. Siapa yang tidak mengenali Ifan Seventeen, penyanyi bersuara gemersik bersama untaian lirik dan lagu yang cukup melankolik?” kata Adam.
Tambah beliau, pihaknya hanya mengambil contoh sebuah lagu Seventeen, iaitu Kemarin (2016) dan percaya tidak hanya Ifan yang ada memori terindah mengenai lagu tersebut. Peminat juga ada kenangan peribadi dengannya.
“Bersama-sama dengan Ifan, kami bawakan Anggi Marito, peserta Indonesian Idol yang memiliki vokal cukup memukau, sekali gus menjadi satu-satunya bunga dalam konsert ini. Hal ini demi mencapai matlamat kami, iaitu memastikan silaturahmi antara dua buah negara tetap terjalin baik,” kata Adam lagi.
Sementara itu, Adam menganggap Alif Satar dan The Locos ialah pemuzik paling tepat mewakili Malaysia dalam Konsert Memori Terindah 2023. Oleh sebab itu, pihaknya percaya Konsert Memori Terindah 2023 akan membuat penonton pulang dengan kenangan terbaik di sepanjang tahun ini.
Ifan pula menganggap peluang beraksi di Malaysia selepas sekian lama tidak menghiburkan peminat di sini harus direbut. Apatah lagi Ifan akan tampil tanpa anggota asal Seventeen, iaitu Allahyarham Bani, Herman, dan Andi yang meninggal dunia dalam tragedi tsunami pada 22 Disember 2018.
“Konsert Memori Terindah 2023 akan menjadi detik yang nyata buat saya secara peribadi, dan mantan anggota Seventeen lainnya kerana ini membuktikan walaupun tanpa kehadiran Bani, Herman, dan Andi, tetapi muzik kami masih tetap dicintai rakyat Malaysia. Alangkah indah jika mereka ada bersama-sama menyaksikan Konsert Memori Terindah 2023 ini,” ujar Ifan.
Bagi Alif Satar, inisiatif Mutiara Optimum menganjurkan konsert membabitkan pemuzik dua buah negara serumpun akan terus menyuburkan industri muzik Nusantara.
“Ini menunjukkan meskipun berlainan negara, dan ada sedikit perbezaan bahasa, tetapi muzik merupakan sebuah landasan yang sejagat. Muzik tidak hanya mampu, malah bakal memberikan kenangan terindah kepada peminat. Jadi, kita jumpa nanti kerana sudah pasti kami akan memberikan persembahan yang terbaik buat anda semua,” tegas Alif.