Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSepang – Sate Kajang bakal diiktiraf sebagai makanan warisan negeri Selangor setelah diwartakan oleh kerajaan negeri pada tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Adat Istiadat Melayu dan Warisan Selangor, YB Borhan Aman Shah berkata pewartaan tersebut sebagai usaha mengangkat imej makanan tradisional popular itu.
Tambah beliau kertas cadangan mengenai usaha tersebut telah sedia dipertimbangkan oleh Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (PADAT) dalam masa terdekat yang seterusnya akan dibawa pula kepada Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri sebelum diwartakan.
“Cadangan berkenaan sebenarnya telah lama bermula sejak Konvensyen Identiti Selangor yang dianjurkan PADAT pada 2011,” katanya ketika berucap dalam majlis Prapengisytiharan Sate Kajang sebagai Makanan Warisan Selangor bersempena dengan Fiesta Sate Selangor di Avani Goldcoast Resort pada 16 September lalu.
Beliau berkata Sate Kajang merupakan juadah yang amat sinonim dengan bandar Kajang di Daerah Hulu Langat yang diasaskan oleh Tasmin Satiban bersama-sama adiknya, Rono yag berasal dari Jawa Tengah sejak 1917.
Katanya, juadah warisan setempat tersebut pada asalnya dijual bergerak tanpa kedai secara berkandar.
“Sate yang asalnya hanya sebuah perniagaan keluarga ini semakin berkembang dan popularitinya bukan hanya dalam kalangan orang tempatan tetapi turut digemari oleh pelancong antarabangsa,” katanya.
Menurut beliau, pengiktirafan Sate Kajang sebagai makanan warisan juga secara tidak langsung akan menjadikannya sebagai salah satu produk pelancongan terutamanya di kawasan Kajang.
Beliau berkata selepas Sate Kajang, pihak kerajaan negeri akan turut mengangkat pelbagai makanan lain sebagai makanan warisan negeri setelah berjaya mewartakan Nasi Ambeng sebagai makanan tradisi dan warisan negeri tersebut pada tahun lepas.
Katanya lagi, usaha untuk mewartakan Sate Kajang sedang dijalankan oleh PADAT dengan melibatkan kajian mengenai sejarah, latar belakang, dan cara penyediaannya.