Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan Sekarang“Satu perbezaan yang nyata ialah barangkali kami akan membuka meja kabaret untuk penonton terlibat sama menjadi sebahagian daripada pengunjung kelab kabaret dalam pementasan tersebut.”
Demikian penjelasan Dr. Rosminah Mohd Tahir, pengarah teater muzikal Lantai T. Pinkie dalam sidang media yang diadakan di Sanggar Tun Sri Lanang, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada petang tadi. Menurut beliau lagi, antara perbezaan lain dalam pementasan pada kali ini ialah penampilan barisan pelakon generasi baharu serta jumlah tenaga kerja lebih kecil yang terlibat yang disesuaikan dengan ruang pentas.
Lantai T. Pinkie merupakan naskhah pentas malar segar karya Sasterawan Negara Datuk Seri A. Samad Said yang dihasilkan pada tahun 1996. Teater Lantai T. Pinkie pernah dipersembahkan sebanyak lima kali dan melibatkan pelakon-pelakon terkenal tanah air seperti Tiara Jacquelina, Erma Fatima, Juhara Ayob, Nasha Aziz, Vanidah Imran, Khadijah Tan dan lain-lain.
Selepas 17 tahun dari pementasan terakhir pada tahun 2006, Lantai T. Pinkie bakal dipersembahkan sekali lagi oleh penerbit yang sama iaitu Siti Rohayah Attan dengan dibarisi oleh pelakon generasi baharu seperti Zera Hariz sebagai Pinkie, Faysal Saad (Muhairi Muda), Zaifri Husin (S.Diman), Carolyne Kamba (Puteh Su) dan Linda Nanuwil (Siti Udaya). Antara pelakon lain yang turut terlibat ialah Nabila Huda (Nyai Sunarti), Dato’ Jalaludin Hassan (Jongkidin Jaroi) dan Dato’ Ahmad Tamimi Siregar (Muhairi Tua).
Lantai T. Pinkie mengisahkan Muhairi Tirus, bekas pemain arkodian di Bunga Joget Moden sedang hidup aman di Telok Melano, Sarawak. Dia didatangi seorang seorang mahasiswa bernama Loiran yang mahu mengkaji tentang Hikayat Gul Bakawali. Permintaan itu menyebabkan Muhairi mengenang kembali kehidupannya sebagai pemuzik di Bunga Joget Moden pada zaman 50-an.
Terdapat pelbagai kisah yang berlaku di lantai joget itu. Antaranya ialah kehidupan pemuzik seperti S.Diman, penari seperti Siti Udaya dan Musalmah selain kisah Jongkidin dengan cinta tersembunyinya bersama mualaf, Putih Su.
Turut dipaparkan ialah kisah T. Pinkie, penari remaja dan cantik yang menjadi rebutan pengunjung, terutamanya Gunjuloh hingga berlaku pergaduhan. Dalam masa yang sama Muhairi juga menyimpan perasaan terhadap T. Pinkie.
T. Pinkie kemudiannya melarikan diri ke Sarawak dan mengahwini Muhairi. Namun, akhirnya T. Pinkie terkorban dalam serangan bom akibat konfrontasi Malaysia-Indonesia dan meninggalkan Muhairi dalam duka.
Pementasan teater muzikal Lantai T. Pinkie bakal menemui penonton pada 6 hingga 8 Oktober 2023 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP, Kuala Lumpur.