24 September 2023, 16:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, DYMM Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid berkenan berangkat menerima sembah mengadap hormat oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Roslan Tan Sri Abdul Rahman di Kangar pada malam semalam.

Berangkat sama ialah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan anakanda sulung, Yang Amat Mulia (YAM) Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bersama Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menerima sembah mengadap Datuk Roslan Tan Sri Abdul Rahman dan ‘Ainu Sham Haji Ramli.

Mengiringi beliau ialah Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, ‘Ainu Sham Haji Ramli.

Datuk Roslan mempersembah maklumkan kepada baginda Tuanku bahawa MOTAC melalui Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) sedang menganjurkan Festival Kraf Utara (FKU) 2023 bermula dari 22 September hingga 1 Oktober 2023 dari pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam di Perkarangan Pejabat Kraftangan Malaysia Cawangan Perlis, Batu 5 Jalan Kuala Perlis.

Menurut beliau, Festival Kraf Utara (FKU) 2023 merupakan penganjuran julung kali diadakan di negeri Perlis yang juga melibatkan penyertaan Kraftangan Malaysia cawangan Kedah, Langkawi, Pulau Pinang dan juga Perak.

Datuk Roslan Tan Sri Abdul Rahman dan ‘Ainu Sham Haji Ramli sedang menerangkan sesuatu kepada DYMM Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid, Raja Perempuan Perlis.

Tujuan FKU 2023 diadakan adalah untuk mempromosi dan mengkomersialkan produk kraf tempatan kepada penduduk setempat dan pelancong. Dengan bertemakan ‘Ini Kraf Malaysia’, FKU 2023 menampilkan kepelbagaian produk kraf Malaysia yang terdapat di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak untuk menyuntik pengetahuan, kesedaran dan kecintaan masyarakat terhadap produk kraf Malaysia selari dengan konsep FKU 2023 iaitu ‘Membudayakan Seni Kraf Malaysia’ dalam kehidupan masyarakat seharian.

Dalam satu majlis berasingan terdahulu daripada itu Datuk Roslan dan ‘Ainu mengadap DYTM Tuanku Raja Muda Perlis dan bertukar-tukar pandangan khususnya dalam tajuk ‘Tahun Melawat Perlis (TMP) 2024-2025’.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.