Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Feminis bermaksud penyokong gerakan kewanitaan yang menuntut kesamaan hak dengan lelaki. Sementara feminisme pula membawa erti fahaman kewanitaan.
Namun demikian, Ts Raja Mukhriz R. Ahmed Kamaruddin tidak menganggap filem arahannya yang pertama, Pagari Bulan sebuah filem feminis walaupun memaparkan cerita, dan perjuangan watak-watak wanita.
“Pagari Bulan bukan filem feminis. Saya sendiri bukanlah penyokong semua perkara dalam feminisme. Apa yang saya ingin paparkan ialah kekuatan kuasa melawan yang ada pada wanita seperti Bulan dan Sui Li dalam filem ini,” jelas beliau sambil menegaskan tidak semestinya filem yang menonjolkan wanita sebagai watak utama itu feminis. Justeru, Pagari Bulan boleh ditonton oleh semua pihak tanpa mengira jantina.
Selama ini, kita biasa menonton filem dan karya visual lain yang feminis atau seumpama dengannya diarahkan oleh pengarah wanita. Walau bagaimanapun, Pagari Bulan unik kerana digarap oleh pengarah lelaki.
Menjawab soalan bagaimana beliau membawa kewanitaan yang ingin diketengahkan olehnya dalam Pagari Bulan, Raja Mukhriz memberitahu selain tidak menganggap filem ini sebagai filem feminis, bantuan “datang sendiri” kerana penulis skripnya ialah wanita, iaitu Siti Jasmina Ibrahim.
“Saya memang mendapatkan kerjasama erat daripada Siti Jasmina, dan itu disokong oleh isteri saya sendiri, pelakon Sharifah Shahora sebagai penerbit, selain pernah mengarahkan karya kewanitaan sebelum ini,” jawab Raja Mukhriz semasa sidang media Majlis Malam Gala Pagari Bulan di pawagam Dadi Cinema, Pavilion Bukit Bintang KL, 27 September lalu.
Menurut Raja Mukhriz, beliau tertarik dengan keunikan tema Pagari Bulan. Katanya, persoalan wanita Melayu kampung dijadikan mangsa pemuas nafsu, dan elok dipaparkan dalam karya seperti filem, kerana kita telah banyak menonton filem dan drama televisyen mengenai penjajahan Jepun dari satu sisi sahaja.
Selain beliau dan Shahora, turut hadir pelakon utama dan pembantu Pagari Bulan, iaitu Nazeera Sardi sebagai Bulan, serta Aniq Durar, Trisha Ooi, Andy Teh, Alvin Wong, Chelsia Ng, Azlan Komeng, Helmy Hakim, Irin Puteri, Hazi Juzaili, dan Wanji Aswandi. Wan Azli Wan Jusoh, Laila Nasir dan Michael Ang, serta Siti Jasmina tidak dapat hadir.
Hadirin turut dihiburkan oleh Namira yang mendendangkan lagu runut bunyi Pagari Bulan, berjudul Bulan, ciptaan beliau sendiri sepenuhnya, sejurus tamat tayangan filem berkenaan. Dimaklumkan, lagu tersebut dipilih oleh Raja Mukhriz yang tertarik selepas pertama kali mendengarnya.
Dalam ucapan alu-aluannya, Shahora gembira kerana ramai wakil media, rakan artis dan “orang kuat” perfileman tanah air turut hadir memberikan sokongan seperti pelakon/pengarah/penerbit Datuk Dr. Yusof Haslam; Pekin Ibrahim, Sabrina Ali, Joey Daud, Watie Sadali, Azman Hassan, Sarimah Ibrahim, serta pelakon/pengarah/penerbit filem/drama televisyen (mantan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia atau FINAS), Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri.
“Saya juga berterima kasih kepada Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia, serta FINAS kerana memberikan sokongan padu, termasuk pemberian Dana Kandungan Digital (DKD),” kata Shahora yang turut menghargai peranan pihak media cetak, elektronik dan sosial dalam mempromosi Pagari Bulan.
Wakil FINAS yang hadir ialah Timbalan Pengerusi, Tuan Noor Azam Shairi, serta Ahli Perbadanan, Encik Rozaidi Abdul Jamil (Zack Zaidi), dan Encik Saeful Fadhly Hj. Mokhtar.
Sementara itu, para pelakon dalam ucapan ringkas masing-masing menyatakan rasa teruja membintangi Pagari Bulan. Cuma, mereka turut mengakui kesukaran untuk bertutur dalam dialek Kelantan, dan bahasa Jepun hingga perlu berlatih dengan giat. Nazeera juga mengakui kepayahan menjayakan adegan pertarungan dengan Andy, kerana beliau tidak pernah beraksi lasak sebelum ini, apatah lagi tempur senjata tajam.
Diterbitkan oleh Eleven Field Creative Sdn. Bhd. (Eleven Field), Pagari Bulan diedarkan oleh Metrowealth (MIG). Ketua Pegawai Eksekutif MIG, Mejar (K) David Teo turut hadir bersama-sama isterinya, Jane Lim.
Bakal ditayangkan di lebih 60 buah pawagam di seluruh Malaysia dan Singapura bermula pada 5 Oktober 2023, Pagari Bulan mengisahkan Bulan, anak sulung kepada pengusaha tanaman, dan pemburu cekap, Ismail (lakonan Wan Azli), dan Hasnah (Laila) yang berhadapan dengan kedatangan tentera Jepun ke Kelantan melalui Kota Bharu.
Penduduk kampung yang diketuai Ismail, dan orang kanannya, Masri (Azlan), serta kampung lain terpaksa mempertahankan kampung mereka dengan apa juga cara, termasuk kekerasan. Justeru, ramai yang didera dan dibunuh, serta anak gadis sasaran ditahan, dan dikurung dijadikan sebagai pemuas nafsu. Mereka dikelolakan oleh seorang wanita Jepun bernama Momosan (Chelsia).
Bulan bersama-sama adiknya, Kasih (Irin Puteri) dan sahabat, Sui Li (Trisha) juga ditangkap. Mereka dikurung dan dipaksa mengikuti segala kemahuan askar Jepun demi memuaskan nafsu. Kekejaman tentera Jepun terhadap wanita mendorong Bulan mempertaruhkan nyawa demi menyelamatkan maruah bangsa, dan tanah airnya.
Konflik bertambah kerana dalam penentangan terhadap kekejaman, dan nafsu serakah pegawai tentera Jepun seperti Kapten Kuzawa (Alvin), serta Leftenan Azu (Andy) yang sangat meminati Bulan dan Sui Li, muncul pula Leftenan Miura (Aniq) yang budiman-intelektual. Dia jatuh cinta pada Bulan.
Sementara itu, treler rasmi filem Pagari Bulan yang asalnya ialah filem pendek ini disiarkan secara rasmi di semua pelantar media sosial Eleven Field dan MIG, sejak 12 September lalu. Idea asal Pagari Bulan datang daripada Ellyna Ahmad.