Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangArau – Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Perayaan Kuih Bulan di Dewan SJK (C) Hwa Aik, Arau.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengerusi Bahagian Wanita Perhimpunan Cina Perlis merangkap Pengerusi Majlis Sambutan Perayaan Kuih Bulan, Dr. Tan Fee Yean dan Guru Besar SJK (C) Hwa Aik, Kung Hong Lian.
Dr. Tan dalam ucapan alu-aluan beliau memaklumkan bahawa Perayaan Kuih Bulan merupakan salah satu perayaan kebudayaan utama yang disambut oleh masyarakat Cina. Pada hari tersebut ahli keluarga serta rakan-rakan pelbagai kaum akan bersama-sama meraikannya.
Majlis tersebut turut diraikan dengan perarakan tanglung serta kuih bulan berbentuk bulat yang dikenali sebagai “kek penyatuan” yang melambangkan kesepaduan dan kesempurnaan.
Pelbagai persembahan disajikan kepada para tetamu yang hadir. Antaranya persembahan Gendang 24 Musim oleh pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Perlis dan tayangan ringkas mengenai sejarah Mid-Autumn Festival (Legenda Chang-E).
Persembahan lain termasuklah tarian tradisional Payung oleh pelajar SJK(C) Hwa Aik, persembahan tarian tradisional Kipas oleh Kelab Tarian Arau dan persembahan Diabolo oleh sepasang adik beradik.
Majlis pada malam itu diserikan dengan penyempurnaan simbolik perasmian oleh DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra dan DYTM Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah.
DYTM Tuanku Raja Muda turut berkenan mengurniakan hadiah kepada para pemenang Pertandingan Pembuatan Tanglung kepada Jessalyn Lee Yee Xuan, Ong Kah Chern, Teoh Hui Jia yang merupakan pemenang pertama hingga ketiga kategori tahap 1 dan Ooi Rui Xi, Ooi Yi Fan dan Chong Jin Chien yang merupakan pemenang pertama hingga ketiga bagi kategori tahap 2.
DYTM Tuanku Raja Puan Muda pula mengurniakan hadiah-hadiah kepada para pemenang pertama hingga ketiga bagi kategori prasekolah iaitu Aldrich Ethan Ak Leonard, Laddawann dan Sofea Ain Kong.
DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra turut bertitah agar rakyat di negeri Perlis akan terus bersatu padu meskipun berbeza agama dan bangsa.
Sambutan perayaan ini membuktikan meskipun terdapat perbezaan, masyarakat di Perlis tetap bersatu dan menghormati antara satu sama lain.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Naharudeen Othman.