6 Oktober 2023, 10:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Seniman Dato’ M. Nasir memberitahu beliau telah lama menunggu pelibatan anak muda dalam penghasilan karya yang mengandungi unsur warisan dan budaya tempatan untuk permainan video digital.

Memang sudah lama masyarakat, khususnya kanak-kanak dan remaja negara kita didedahkan dengan permainan digital video dari barat, atau negara luar.

Dato’ M. Nasir ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama (MoU) antara UniVRse Interactive Sdn. Bhd. dengan Luncai Emas Sdn. Bhd.

“Tetapi, setelah lebih 40 tahun berkecimpung dalam dunia muzik, saya tidak pernah terfikir atau terbayang diminta menghasilkan lagu untuk permainan video digital. Selama ini, saya pernah mencipta lagu untuk filem dan drama televisyen,” tambah M. Nasir.

Justeru, disebabkan oleh sekian lama menunggu, penyanyi dan pencipta lagu terkenal itu mengakui beliau sangat teruja, dan tidak menolak, meskipun tahu hal tersebut merupakan cabaran baharu untuknya.

Nasir menyatakan sedemikian semasa berucap dalam Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama (MoU) antara UniVRse Interactive Sdn. Bhd. (UniVRse) dengan Luncai Emas Sdn. Bhd. (Luncai Emas) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 29 September lalu.

MoU Kolaborasi dalam Perkembangan Muzik Berkaitan untuk Permainan Mobile Empayar: The Melaka Chronicles yang berlangsung dalam suasana ceria dan mesra itu bertujuan mentakrifkan semula landskap hiburan digital tanah air.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif UniVRse, Mohd. Hezri Amir Abdul Latif;  Ketua Pegawai Operasi UniVRse, Norhaizat Zainal Abidin; Pengurus Produksi Luncai Emas, Mohd. Khirin Omar atau lebih dikenali sebagai Keon; Pengurus Penerbitan Luncai Emas, Jennifah Johari; Penerbit Studio Kembara Sdn. Bhd. (Studio Kembara), Shahruddin Mt. Dali, dan Ketua/Naib Presiden Kanan, Pembangunan Industri Digital, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Ts Fadzli Abdul Wahit.

Dato’ M. Nasir teruja dapat bekerjasama menghasilkan permainan video dengan sentuhan anak tempatan.

Shahruddin hadir mewakili Pengarah Urusan Studio Kembara, Haji Abdul Rahman Mt. Dali. Studio Kembara ialah penyokong bersama-sama MDEC. Datuk Ts Fadzli turut menyampaikan ucapan penutup majlis.

Selain menyanyi, mencipta melodi, menulis lirik dan menerbitkan album, Nasir ialah Pengarah Urusan Luncai Emas, syarikat yang ditubuhkannya sejak 5 Januari 1990 bersama-sama isteri, Allahyarham Junainah Johari.

Dalam ucapannya juga, Nasir secara berseloroh menyatakan hanya beliau “orang tua” yang masih berkarya dalam lagu dan muzik tanah air hari ini. Justeru, bekerja dengan anak muda hari ini memang tidak dapat dielakkan.

“Keadaan hari ini telah jauh berubah. Peralatan yang digunakan juga tidak seperti dahulu,” tambahnya yang memungkinkan timbul masalah, misalnya dalam persefahaman.

Mengenai masalah yang mungkin timbul semasa bekerja dengan pemuzik generasi sekarang yang muda-muda, laju dan kreatif, secara bergurau, Nasir yang kini berusia 66 tahun, memberitahu lebih mudah bekerja dengan pemuzik veteran.

“Anak muda bangun lewat. Tetapi, jika sudah mula bekerja, mereka begitu tekun dan kuat sehingga lebih 24 jam sehari,” jelas Nasir yang optimis mampu bekerjasama dengan anak muda hari ini.

“Yang penting kita jelaskan kepada mereka tentang budaya dalam karya yang dihasilkan. Dalam hal permainan video ini, tentulah budaya Melayu, khususnya Melaka,” tambah Nasir.

Sebelum itu, dalam ucapannya, Keon menjangkakan akan ada lagu seperti Mentera Semerah Padi atau Mentera Semerah Padi 2 daripada Nasir untuk permainan video digital berkenaan.

Keon banyak menulis lirik sejak lebih dua dekad, termasuk Pertama Ramadan Ini, nyanyian kumpulan Fotograf, Senandung Melayuku (Nasir), dan Menyantun Kasih (Siti Nordiana).

Mengenai penataan muzik oleh Nasir seperti yang ditanya oleh pihak media, Keon memberitahu Luncai Emas akan menampilkan sebuah lagu baharu sebagai OST permainan video itu.

Sama ada Nasir sendiri atau penyanyi lain menyanyikannya, belum ada jawapan pasti daripada Keon dan Nasir.

Mohd. Hezri, dalam ucapannya menyatakan kegembiraan dan rasa syukur dapat bekerjasama dengan Luncai Emas dan Nasir untuk produksi pertama UniVRse, meskipun belum lengkap sempurna untuk beralih ke produksi kedua.

UniVRse memang bertuah kerana mendapat sentuhan komposer berpengalaman luas yang turut digelar sifu, dan maestro muzik tanah air itu.

Dari kiri; Keon Omar, Mohd. Hezri Amir Abdul Latif, Dato’ M. Nasir, Shahruddin Mt. Dali, dan Norhaizat Zainal Abidin.

Tambah Mohd Hezri, kolaborasi strategik berkenaan juga bertujuan mewujudkan iklim saling berkongsi yang menguntungkan kedua-dua pihak, dengan mencipta kepelbagaian ranah, terutama dalam landskap hiburan digital dan permainan negara.

“Ketika ini, tumpuan utama MoU adalah memantapkan penataan muzik dan lagu tema (OST) untuk permainan video Empayar: The Melaka Chronicles,” jelas beliau yang yakin sentuhan Nasir akan memberikan lebih kesan dengan irama ciptaannya yang sudah dimaklumi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.