Oleh Zaidi Zakaria
6 Oktober 2023, 12:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Yogyakarta, Indonesia – Sebanyak 12 orang mahasiswa dari Akademi Pengajian Bahasa, UiTM Shah Alam termasuklah mahasiswa sarjana muda Bahasa Inggeris untuk Komunikasi Profesional, Sarjana Muda Bahasa Arab untuk Komunikasi Profesional, dan Sarjana Muda Bahasa Inggeris untuk Komunikasi Antara Budaya telah menjayakan aktiviti pemindahan ilmu silang budaya yang meliputi dua topik utama iaitu sesi pembelajaran berkaitan perkataan pinjaman Bahasa Melayu-Bahasa Indonesia-Bahasa Arab dan sesi pembelajaran bahasa bukan lisan iaitu abjad Bahasa Isyarat Amerika (ASL).

Aktiviti yang diadakan memberikan perspektif dan pengalaman baharu kepada mahasisawa yang terlibat. 

Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, Dr. Muhamad Zaidi Zakaria berkata, aktiviti silang budaya bertaraf antarabangsa ini merupakan julung kali diadakan oleh Akademi Pengajian Bahasa UiTM dengan memberikan peluang kepada 12 orang mahasiswa dalam aktiviti perkongsian ilmu kepada lebih kurang 50 orang pelajar berusia 11 tahun hingga 12 tahun di Sekolah Dasar Muhammadiyah Ambarketawang (3), Yogyakarta.

“Program ini dapat memberikan nilai tambah dan pengalaman bermakna kepada mahasiswa untuk menterjemahkan pedagogi pendidikan dan kemahiran komunikasi yang dipelajari di dalam kelas ke platform antarabangsa.”

Lebih menarik lagi, sesi pengajaran ini turut diselangi dengan sesi kuiz, permainan bola beracun, dan nyanyian lagu kanak-kanak seperti Rasa Sayang, Kalau Rasa Gembira (dinyanyikan dalam Bahasa Melayu) dan Kalau Kau Suka Hati (dinyanyikan dalam Bahasa Indonesia).

Mahasiswa bergambar kenang-kenangan bersama murid-murid Sekolah Dasar Muhammadiyah Ambarketawang (3), Yogyakarta.

Mengulas lanjut beliau berkata, selain aktiviti silang budaya bersama sekolah dasar, mahasiswa UiTM turut menjalankan beberapa aktiviti lain seperti forum mahasiswa, pembentangan inovasi mahasiswa dan aktiviti kesukarelawanan di sekitar Yogyakarta.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.