8 Oktober 2023, 13:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Foto: Khai DBP

Kuala Lumpur – Persembahan yang cemerlang pementasan teater muzikal Lantai T. Pinkie berjaya memenuhi jangkaan serta menambat hati penonton yang memenuhi ruang Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Lantai T. Pinkie sekali lagi dipentaskan oleh Siti Rohayah Attan (penerbit) dan Dr. Rosminah Mohd Tahir (pengarah).

Karya hebat oleh Sasterawan Negara, Datuk Seri A. Samad Said, pengarah berkaliber, muzik dan lagu yang menarik, persembahan kolektif yang bertenaga oleh gabungan pelakon terkenal tanah air bersama-sama bakat baharu merupakan antara ramuan kejayaan pementasan Lantai T. Pinkie pada kali ini.

Bakat baharu seperti Zera Hariz sebagai Pinkie, Faysal Saad (Muhairi Muda), Zaifri Husin (S.Diman), Carolyne Kamba (Puteh Su) dan Linda Nanuwil (Siti Udaya) dilihat begitu cemerlang menghidupkan watak masing-masing sekali gus menjadi pelengkap kepada pelakon berpengalaman yang tidak perlu dipersoalkan lagi kualiti lakonan mereka seperti Dato’ Jalaludin Hassan (Jongkidin Jaroi) dan Dato’ Ahmad Tamimi Siregar (Muhairi Tua) dan Nabila Huda (Nyai Sunarti).

Bakat baharu Zera Haris dan Faysal Saad sebagai pelakon utama dalam teater muzikal Lantai T. Pinkie.

Penulis berkesempatan menonton pementasan Lantai T.Pinkie pada malam tadi dan dapat menyimpulkan bahawa teater ini “laku keras”. Yang lebih membanggakan, sebahagian besar penonton yang hadir merupakan generasi muda. Hal ini menggambarkan bahawa pementasan teater di Malaysia sentiasa ada permintaan dan peminatnya yang tersendiri serta “boleh jual” terutamanya kepada penonton generasi muda seperti juga filem pecah panggung di pawagam.

Selepas 17 tahun dari pementasan terakhir pada tahun 2006, Lantai T. Pinkie dipersembahkan sekali lagi oleh penerbit dan pengarah yang sama iaitu Siti Rohayah Attan (penerbit) dan Dr. Rosminah Mohd Tahir (pengarah).

Lantai T. Pinkie mengisahkan Muhairi Tirus, bekas pemain arkodian di Bunga Joget Moden sedang hidup aman di Telok Melano, Sarawak. Dia didatangi seorang mahasiswa bernama Loiran yang mahu mengkaji tentang Hikayat Gul Bakawali. Permintaan itu menyebabkan Muhairi mengenang kembali kehidupannya sebagai pemuzik di Bunga Joget Moden pada zaman 50-an.

Nabila Huda membawakan watak Nyai Sunarti.

Pinkie, penari remaja dan cantik yang menjadi rebutan pengunjung, terutamanya Gunjuloh hingga berlaku pergaduhan. Dalam masa yang sama Muhairi juga menyimpan perasaan terhadap T. Pinkie.

Pinkie kemudiannya melarikan diri ke Sarawak dan mengahwini Muhairi. Namun, akhirnya T. Pinkie terkorban dalam serangan bom akibat konfrontasi Malaysia-Indonesia dan meninggalkan Muhairi dalam duka.

Terdapat pelbagai kisah lain yang turut dipaparkan. Antaranya ialah kehidupan pemuzik seperti S.Diman, penari seperti Siti Udaya dan Musalmah selain kisah Jongkidin dengan cinta tersembunyinya bersama mualaf, Putih Su.

Lantai T. Pinkie merupakan naskhah pentas karya Sasterawan Negara Datuk Seri A. Samad Said yang dihasilkan pada tahun 1996.

Penonton yang pertama kali menyaksikan Lantai T.Pinkie pasti akan tertarik dengan lagu/muzik hasil ciptaan dan gubahan Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah.

Lantai ini lantai rasa, tempat kasut-kasut bercerita ….

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.