Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPetaling Jaya – Selepas kejayaan Ola Bola (2016) yang dianggap sebagai filem patriotik (menerusi sukan), para penonton yang tertunggu-tunggu kemunculan filem bercorak serupa, bakal menonton Harimau Malaya: The Untold Journey selepas sambutan Syawal tahun 2024.
Pada 10 Oktober lalu berlangsung majlis pelancaran filem berkenaan di Hotel Sheraton Petaling Jaya yang turut dihadiri Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd. Amin, serta beberapa orang pemain pasukan Harimau Malaya seperti Faisal Halim, Safawi Rasid, Akhyar Rashid, dan Syihan Hazmi Mohamed.
Bola sepak dan nama pasukan Harimau Malaya sudah sinonim bagi para penggemar sukan bola sepak negara.
Sejak lebih sedekad lalu, Harimau Malaya sentiasa menjadi kebanggaan bukan hanya dalam kalangan penggemar bola sepak, tetapi rakyat Malaysia, kerana perjuangan tanpa berbelah bahagi yang ditonjolkan oleh setiap individu, sama ada di belakang tabir hingga ke barisan pemain yang silih berganti.
Namun begitu, di sebalik yang dilihat oleh umum di padang menerusi kelincahan para pemain, ada kisah tersembunyi yang tidak diketahui di sepanjang “perjalanan” Harimau Malaya menuju kejayaan.
Memang menarik jika ada syarikat perfileman tanah air mahu mengangkat perspektif yang belum pernah dikupas dalam mana-mana karya melibatkan Harimau Malaya.
Justeru, usaha 4ward Pictures Sdn. Bhd. menerbitkan Harimau Malaya: The Untold Journey berdasarkan hasrat tersebut, amat wajar disokong, selaras dengan harapannya agar filem tersebut menjadi filem wajib tonton.
Potensi untuk Harimau Malaya: The Untold Journey muncul cemerlang adalah cerah kerana mendapat sentuhan magis sutradara hebat dan terkenal Dato’ Afdlin Shauki, yang turut menulis lakon layarnya (bersama-sama Haris M. Nor, Norsyiella Annuar, dan Shabromo).
Selain itu Harimau Malaya: The Untold Journey dibintangi ramai pelakon popular tanah air seperti Syafiq Kyle, Fattah Amin, Namron, Khir Rahman, Azhar Sulaiman, Tony Eusoff, Bell Ngasri, Aiman Hakim Redza, Douglas Lim, Nor Fazura, Vanidah Imran, Aidil Aziz, Sophia Albarakbah, dan Zahirah Macwilson, serta penyiar Kavin Jay.
Walau bagaimanapun, hanya Namron, Tony, Aidil, Sophia, dan Kavin dari kalangan pelakon yang menghadiri majlis pelancaran Harimau Malaya: The Untold Journey, bersama-sama Dato’ Afdlin, dan Penerbit Eksekutif, Nashrul Nasir.
Turut hadir Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon, serta pelakon, pengarah dan penerbit terkenal, Dato’ Hans Isaac.
Menurut Nashrul, Harimau Malaya: The Untold Journey diilhamkan daripada kisah di sebalik tabir FAM, selepas Tan Cheng Hoe meletakkan jawatan sebagai jurulatih Harimau Malaya pada Januari 2022.
“Daripadanya, Harimau Malaya: The Untold Journey berkembang bukan setakat mengenai pemain bola sepak, tetapi kami mengambil penceritaan berbeza, terutama mengangkat kisah tiga orang peminat tegar yang digelar Ultras yang disenaraihitamkan daripada menonton perlawanan bola sepak selama setahun,” jelas beliau.
Filem berdurasi 120 minit ini juga, tambah Nashrul, memaparkan “sepak terajang” atau “perjalanan panjang” tentang individu-individu di belakang tabir, dan di sekeliling yang banyak membantu Harimau Malaya, tetapi tidak pernah “didendang”kan.
“Penghasilan filem ini juga merupakan sebuah penghargaan terhadap perjuangan skuad kebangsaan kita, terutama selepas berjaya menewaskan Bangladesh untuk layak ke Piala Asia selepas 42 tahun,” katanya lagi yang percaya banyak kisah bersifat ilham boleh dikutip daripada Harimau Malaya: The Untold Journey (HMTUJ), terutama selepas pengunduran Cheng Hoe.
Nashrul juga meyakini kepakaran Afdlin menulis skrip dan mengarahkan HMTUJ dalam atmosfera drama, kesukanan dan sejarah yang dibaluti nilai komersial, yang mampu menajdikannya sebagai filem wajib tonton.
“Penonton tidak hanya akan terilham, tetapi kami mahu menumbuhkan patriotisme yang lebih segar terhadap Harimau Malaya, dan juga Malaysia tercinta,” ujar beliau, bersama-sama Penerbit Alif Nabil.
Selepas mengarahkan Papadom 2 kira-kira 10 tahun lalu, Afdlin memberitahu peluang menggarap filem HMTUJ digunakan olehnya untuk mewujudkan kecintaan lebih mendalam, bukan sahaja terhadap sukan, tetapi semangat setia kawan, pengorbanan dan patriotisme yang wajar ada dalam diri setiap rakyat Malaysia.
“Sebagai rakyat Malaysia, saya tidak harus menolak peluang menghasilkan filem ini. Bukan sahaja kerana mahu ada sebuah maha karya dalam kerjaya pengarahan saya, tetapi usaha ini sebagai penghormatan saya kepada negara tercinta,” tegas Afdlin.
Menerusi HMTUJ, kata beliau lagi, penonton khususnya akan memahami pengertian “Kejayaan Memerlukan Keberanian dan Pengorbanan”.
Penceritaan HMTUJ yang berbeza bermaksud ia bertolak dari empat kisah berbeza yang pada akhirnya akan menjadi penentu kejayaan Harimau Malaya layak ke pusingan akhir Piala Asia secara merit selepas 42 tahun.
Kisah pertama memaparkan sudut pandang daripada badan pengurusan bola sepak negara – FAM. Kisah kedua pula mengambil kira perspektif dari kerusi panas, iaitu ketua jurulatih.
Sementara kisah ketiga dalam HMTUJ melihat kepada para pemain Harimau Malaya sendiri. kisah keempat pula mengenai penglibatan tiga orang sahabat penyokong yang telah disenaraihitamkan daripada menghadiri perlawanan bola sepak di stadium selama setahun.
Keempat-empat kisah ini kemudiannya akan bertemu di klimaks ketika perlawanan terakhir peringkat kumpulan Kelayakan Piala Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil yang menyaksikan Malaysia menumpaskan Bangladesh untuk mencipta memori indah bersama-sama para penyokong.
Mengenai pemilihan pelakon, Afdlin menjelaskan syarat utama ialah boleh bermain bola sepak walaupun tidak semua watak tampil di padang. Menurut beliau, Syafiq adalah watak utama sebagai pemain bola sepak yang mengalami “kejutan budaya” akibat menerima gaji bulanan lumayan.
Bagi Aidil, beliau memang teruja membintangi HMTUJ kerana bukan sahaja meminati bola sepak, tetapi aktif bermain hingga kini.
“Boleh juga dikatakan membintangi filem ini sebagai “memenuhi” cita-cita saya menjadi pemain bola sepak yang tidak kesampaian,” jelas suami kepada aktres Fasha Sandha ini yang berazam memberikan lakonan terbaik untuk HMTUJ.
Namron pula memberikan empat alasan membintangi filem ini. Antaranya ialah mahu kembali bekerja dengan Afdlin selepas filem Misteri Jalan Lama (2011), dan membawa watak wartawan buat pertama kali selama berlakon sejak tahun 2003.
Selain Namron yang tidak perlu menendang bola, watak untuk Tony menarik kerana beliau berlakon sebagai Presiden FAM. Tony menerima tawaran kerana Afdlin juga rakan baiknya.
Sophia pula memegang watak teman wanita salah seorang pemain Harimau Malaya, dan Kavin yang memang peminat setia Harimau Malaya sebagai salah seorang ahli Ultras.
Pelancaran HMTUJ disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Adam Adli Abdul Halim, yang tertarik dan mengalu-alukan penerbitannya.
Datuk Haji Hamidin pula dalam ucapannya menyatakan pembikinan HMTUJ yang menelan belanja RM5 juta, sudah dijangkakan berdasarkan kunjungan Afdlin ke padang latihan Harimau Malaya pada bulan September lalu.
Bakal menjalani penggambaran selama 35 hari, kru produksi HMTUJ dikhabarkan akan turut ke Qatar untuk mengikuti aksi Harimau Malaya dalam pusingan akhir Piala Asia dari 12 Januari 2024 hingga 10 Februari 2024.