Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Adakah pementasan teater ini mempunyai kaitan dengan siri konflik berdarah terbaharu yang sedang berlaku antara Palestin dengan Israel pada hari ini?
Mungkin itulah antara persoalan yang berlegar-legar dalam pemikiran khalayak apabila Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi Persatuan Badan Budaya DBP bakal mementaskan Teater Perdana DBP: Balada Angsa Hitam bermula pada 1 November hingga 4 November 2023 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP.
Sasterawan Negara (SN) yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Dato’ Dr. Mohd Anuar Haji Rethwan dalam sidang media bersempena dengan pementasan teater tersebut berkata, “Saya berharap agar DBP akan terus menjadi gelanggang pementasan drama dalam bahasa Melayu yang hebat”. Hal ini dikatakan demikian kerana menurut beliau, masyarakat yang bertamadun tinggi di kota-kota besar biasanya mempunyai tempat pementasan drama yang hebat.
Sementara itu, A. Wahab Hamzah, pengarah teater Balada Angsa Hitam ketika mengulas tentang pementasan tersebut berkata, “Pementasan teater ini bertujuan untuk mengangkat nilai kemanusiaan dan bukan untuk membawakan elemen propaganda”.
“Saya mula menggarap skrip teater ini sejak tahun lalu, oleh itu hal ini bukanlah sengaja dirancang supaya dipentaskan pada situasi konflik Palestin-Israel yang sedang berlaku pada hari ini. Hal ini adalah kebetulan sahaja,” tambah A. Wahab Hamzah. Beliau turut menyatakan harapan agar teater ini akan memberikan kefahaman dan keinsafan kepada khalayak.
Teater Balada Angsa Hitam merupakan adaptasi daripada satu-satunya cerpen karya Sasterawan Negara Dato’ (Dr.) Nordin Hassan, iaitu cerpen Balada Angsa Hitam yang diterbitkan dalam majalah Dewan Sastera Mei 2003. Cerpen Balada Angsa Hitam juga telah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2002/2003 dalam kategori Cerpen Eceran.
Balada Angsa Hitam mengisahkan ketabahan dan kekuatan tiga wanita, iaitu Su, Heleena dan Nana yang berjuang dalam menghadapi kekejaman perang dan tekanan daripada kuasa-kuasa yang mencengkam.
Su menempuh perjalanan pulang yang sukar untuk menghadiri majlis perkahwinan kakaknya di Beirut. Turut dipaparkan pergolakan antara Fatah dan PLO dalam menentang pencerobohan Israel.
Nenek Su (Heleena) pula pernah menjadi mangsa kekejaman tentera Nazi di Jerman semasa Perang Dunia Kedua. Sementara itu, Nana, pelajar kursus drama terlibat dalam teater klasik Yunani, iaitu Antigone. Antigone menampilkan watak wanita yang berjuang menentang tekanan dari Creon yang melambangkan kuasa patriaki.
Teater Balada Angsa Hitam bakal menampilkan pelakon seperti Nesa Edrus yang memegang watak sebagai Suhaila, Rasdi Daud (Orang Tua), Ard Omar (Pegawai Tentera Israel) dan Fairul Pujangga (Pemuda Fatah).
Sementara itu, sesuatu yang menarik perhatian tentang teater Balada Angsa Hitam adalah pelibatan pelakon antarabangsa seperti Tanya Mike yang melakonkan watak Nana dan Sabrina Abdulloeva sebagai Heleena.
Yang turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Tuan Haji Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed dan Pengerusi Persatuan Badan Budaya DBP, Encik Aris Othman.
Khalayak peminat teater di luar sana pasti menjangkakan sebuah persembahan yang hebat daripada produksi Balada Angsa Hitam ini kerana melibatkan karya Sasterawan Negara. Mampukah saudara A. Wahab Hamzah dan pasukannya menyahut cabaran ini? Persoalan tersebut akan terjawab pada 1 November 2023 nanti.