Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPhnom Penh, Cambodia – Rakyat Perlis diseru untuk sama-sama menjayakan kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2025 dengan memberikan layanan yang baik dan ikhlas, menyambut kedatangan para pelancong dengan mesra dan gembira serta sentiasa menjaga kebersihan setiap masa khususnya di kawasan tumpuan utama pelancongan. Usaha murni tersebut perlu diterapkan dan menjadi amalan kerana Perlis kini semakin menjadi tumpuan para pelancong dari dalam dan luar negara.
Demikian titah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat melancarkan Promosi Masakan Perlis di My Kampong Cafe yang beroperasi di 77C Street 480, Toul Tompoung, Chamkarmon, Phnom Penh, Cambodia.
Keberangkatan tiba baginda ke program yang dianjurkan oleh restoran berkenaan dengan kerjasama Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF), dan Pertubuhan Glokal Ihsan Malaysia itu disambut oleh pengusahanya Muhamad Faizal Haji Ab Rasid.
Hadir sama mengiringi baginda ialah Duta Besar Malaysia Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim dan isteri beliau, Datin Masdiana Mohamad serta Atase Pertahanan, Kolonel Nazlee Abd Rahim.
Majlis pengenalan masakan Kurma Perlis di Cambodia dirangka untuk memperkenalkan keunikan masakan negeri Perlis yang terletak di bahagian paling utara Malaysia di dua buah restoran di Phnom Penh iaitu My Kampong Cafe dan Dakshin’s Restaurant.
Para pengunjung ke restoran tersebut selepas ini dialu-alukan untuk melancong ke negeri Perlis bagi memeriahkan lagi kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2025.
DYTM Tuanku Raja Muda menitahkan bahawa antara lokasi-lokasi menarik di Perlis seperti Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai Kuala Perlis, Tasik Timah Tasoh, Gua Kelam, Wang Kelian View Point, Taman Tasik Melati dan Padang Besar dijangka akan menjadi tumpuan utama para pelancong.
DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berharap agar melalui diplomasi gastronomi ini, hubungan dua hala antara Cambodia dan Malaysia khususnya negeri Perlis akan menjadi lebih akrab dan saling menyantuni antara satu sama lain.