Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Ketua Pengajian Seni Persembahan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Norzizi Dato’ Zulkifli menegaskan karyawan tanah air perlu sentiasa mengetengahkan atau menerapkan warisan budaya sendiri dalam karya mereka.
“Selain menunjukkan mereka tetap mengangkat akar tradisi, hal tersebut turut menarik perhatian pemerhati dan pengkritik luar, yang boleh memberikan kejayaan dalam pertandingan yang disertai. Jangan terlalu ghairah menghasilkan karya kontemporari, tetapi tidak dipandang, sedangkan karya berunsur tempatan yang dihargai orang luar,” kata Dr. Norzizi, merujuk pada pengkaryaan sendiri.
Norzizi yang juga pelakon dan pengarah teater, serta drama televisyen pernah menghasilkan teater Throne of Thorns, Medea dan Oedipus yang memperoleh kejayaan menewaskan karya-karya dari barat, hasil daripada menerapkan unsur tradisi walaupun pada awalnya berharapan tipis.
“Sebenarnya, Throne of Thorns ialah teater kontemporari, tetapi saya memasukkan unsur seni teater tradisional Melayu, dan mak yong. Antara teknik persembahan mak yong termasuklah kostum untuk pak yong, hiasan di kepala, serta la manik seperti destar dan tanjak Melayu; ritual main teri dengan dulang berisi kostum dan hiasan di kepala watak, serta silat yang merupakan asas latih tubuh,” jelas Norzizi.
Mak yong dalam Throne of Thorns, tambah beliau, turut diperkuat oleh tarian mengadap rebab, nyanyian berilhamkan lagu mengadap rebab dengan kalimat “Eee dondang”, “Ayo wei”, dan “Adik we laaa”, serta muzik berinspirasi daripada lagu mak yong.
Anak kepada pelakon legenda Allahyarham Dato’ Zulkifli Zain ini menyatakan sedemikian ketika berceramah yang bertajuk Pemerkasaan Seni dan Budaya melalui Persembahan Teater, dalam Bual Bicara KLEX: “Saranan Memelihara Kraf, Seni dan Warisan Budaya Kita” di Lalaport, Bukit Bintang pada 20 Oktober lalu.
Acara berkenaan diadakan bersempena dengan KLEX 2023 atau nama penuhnya, Kuala Lumpur Exchange 2023, sebuah program tahunan anjuran Pertubuhan Kraf Malaysia (MCC) di tempat yang sama dari 14 Oktober hingga 23 Oktober 2023.
Tambah beliau, Throne of Thorns menampilkan destar, yang kepelbagaian ikatannya melambangkan watak, kain batik/sarung sebagai unsur kekaguman, tikar mengkuang – lantai bercat, dan pohon beringin wayang kulit sebagai latar set/cyclorama.
“Medea pula tampil dengan korus yang memakai kain batik, kepala berikat tocang, berparam ke pilis, dan berbedak sejuk. Mereka juga berbengkung, kemudian bertungku dalam babak pertama, diikuti babak bertangas, berdiang, iaitu baring di atas para, menyusukan anak, berendoi, buaian kain batik, dan ilmu hitam dalam dunia Melayu,” kata Norzizi.
Sementara Oedipus meraih anugerah Persembahan Berkumpulan Terbaik dalam Anugerah Seni Cameronian Boh 2019, Anugerah Pingat Emas pertandingan Ekspo Ciptaan, Inovasi dan Reka Bentuk UiTM 2020, dan Pingat Emas Ekspo dan Simposium Inovasi Virtual 2021 Universiti Tun Hussein Onn.
Seorang lagi pembicara, Arja Lee pula menceritakan serba sedikit sejarah beliau beralih dari seorang pelakon menjadi pensyarah Seni Persembahan di Universiti Malaysia Kelantan sejak empat tahun lalu.
“Ada rakan yang bertanya kepada saya mengenai masa depan kerjaya seni saya. Kata mereka, sampai bila saya hanya mahu berlakon drama televisyen dan filem. Mereka mendorong saya agar melakukan perkara yang lebih besar,” jelas Arja yang terkenal selepas membintangi Dalam Botol, filem pertama lakonannya yang mencetuskan kontroversi pada tahun 2011.
Menurutnya lagi yang pernah mendalami mak yong, pembabitan golongan selebriti dalam program seperti KLEX ini dapat membantu usaha melahirkan lebih ramai pencinta seni kreatif.
“Ini amat penting kerana pembabitan mereka banyak membantu pertubuhan bukan kerajaan melaksana, serta merealisasikan misi dan visi mereka pada tahap yang cukup baik,” katanya yang berharap lebih ramai rakan selebriti ikut berusaha melahirkan generasi yang kenal, mencintai seni, serta beradab.
Sebelum itu, Presiden Pengasas MCC, Nik Faiz Nik Amin memberitahu KLEX 2023 diadakan ekoran kejayaan hebat Kelantan Exchange 2020 dan 2021, serta Penang Exchange 2022.
KLEX 2023 membawa tema “Pengalaman Lapisan Perak”, dengan menekankan isu krisis kepupusan budaya, dan kraf yang semakin meruncing di Malaysia.
“Pengunjung serta semua yang terlibat dibawa menerokai pengalaman pengembaraan, dan aktiviti kebudayaan yang mengasyikkan melalui pendekatan praktikal. Kuala Lumpur dilihat sebagai pilihan tepat untuk tujuan ini dan memenuhi sasaran capaian organisasi,” kata Nik Faiz.
Tambah beliau, MCC juga berharap KLEX 2023 mampu menghimpunkan badan serta individu berpengaruh yang sehaluan dengan aras pemikiran yang setara, untuk mendidik, memupuk dan mewujudkan kesedaran yang luas tentang keunikan hasil kraf tempatan.
“KLEX 2023 adalah sebahagian daripada ekosistem mampan yang penting untuk menghasilkan golongan artisan berkualiti. Golongan muda perlu diberi kesedaran dan ilmu yang mendalam agar berminat, dan cenderung terhadap kepelbagaian bidang kraf tempatan. Rakyat Malaysia serta pasaran luar negara perlu menyambut industri ini dalam memastikan permintaan dan pengeluaran yang seimbang,” katanya.
KLEX 2023 yang turut disokong oleh Kementerian Pelancongan, Seni, dan Kebudayaan, Tourism Malaysia, serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bermula dengan KLEX Cultural Sprint, dan Kecoh Kecoh Kebaya Race.
Acara tersebut menampilkan barisan artisan dengan hasil kraf mereka untuk jualan di pekan sari, penganjuran seminar, sesi forum atau bual bicara, dan bengkel berkaitan kraf, serta industri seperti seni sulaman kelingkan, anyaman songket, dan kain telepuk.
Kemuncak KLEX 2023 ialah majlis makan malam amal “Makan Malam Kecemerlangan Perak” yang dihadiri kerabat diraja, pembesar negara, serta individu berpengaruh pada 23 Oktober di Hotel The Grand Hyatt, Kuala Lumpur.
Turut diadakan Festival Seni Hidup pada 20 hingga 22 Oktober 2023, yang menghimpunkan kesenian yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO), Warisan Kebangsaan, serta kesenian yang jarang diketengahkan.
Festival Seni Hidup 2023 disertai Argentina, Azerbaijan, Filipina, India, Indonesia, Kazakhstan, Mauritius, Mexico, Nigeria, Republik Korea, Sri Lanka, Uzbekistan, dan Malaysia.