1 Disember 2023, 21:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pauh Putra – Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyarankan agar pengusaha-pengusaha restoran atau kedai makan di negeri Perlis yang belum menyediakan ruang solat agar dapat mempertimbangkan untuk melaksanakannya bagi memudahkan para pekerja dan pelanggan menunaikan kewajipan solat terutamanya dalam keadaan memerlukan seperti ketika hari hujan dan waktu terhad.

Walaupun terdapat banyak masjid dan surau sedia ada, namun penyediaan ruang solat dengan keluasan yang sederhana, dilengkapi dengan tempat berwuduk yang berasingan dengan tandas, selamat dan bersih untuk digunakan juga akan menjadi salah satu faktor tarikan untuk memberikan keselesaan kepada pelanggan khususnya mereka yang beragama Islam.

Demikian titah DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra selepas berkenan berangkat menyempurnakan simbolik pelancaran Promosi Kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025 Peringkat Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang diadakan di perkarangan Dewan Ilmu, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra baru-baru ini.

Mengiringi baginda ialah Naib Canselor, Profesor Datuk Ts. Dr. Zaliman Sauli dan pengurusan tertinggi universiti.

Profesor Datuk Ts. Dr. Zaliman memaklumkan bahawa UniMAP melaksanakan inisiatif tersebut sebagai komitmen bagi membantu menarik pelancong meneroka Perlis untuk meningkatkan lagi pendapatan rakyat, menjanakan ekonomi setempat dan menggerakkan ekonomi.

Usaha tersebut juga bertujuan untuk menguar-uarkan potensi pelancongan di negeri ini kepada masyarakat terutamanya ibu bapa dan waris selain tetamu dari dalam dan luar negara yang mengunjungi UniMAP dari semasa ke semasa.

Tambah beliau, “Sebagai contoh, Istiadat Konvokesyen Ke-18 yang dilaksanakan baru-baru ini telah disempurnakan oleh DYTM Tuanku Canselor dan DYTM Tuanku Pro-Canselor menyaksikan UniMAP menerima lebih daripada 20 000 pengunjung termasuk yang hadir ke Festival Konvokesyen (FESTKON) yang diadakan di dalam kampus sekali gus merancakkan lagi promosi TMPs 2024-2025.”

Yang turut hadir di majlis tersebut ialah para pegawai serta pelajar-pelajar University of Queensland, Brisbane, Australia yang sedang menjalani program mobiliti di UniMAP selama beberapa minggu pada ketika ini.

Sementara itu, selain membuat persembahan kebudayaan istimewa di Istiadat Konvokesyen UniMAP dan juga di FESTKON, kumpulan Unit Kebudayaan dan Rekreasi (UKR) UniMAP serta pelajar turut membuat persembahan penuh bertenaga bersempena dengan Pesta Konvo Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok.

Terdahulu, kumpulan UKR UniMAP pernah membuat persembahan kebudayaan di luar negara termasuklah di Guanghzhou, Shenzen dan Shanghai (China), Rome (Itali), Seoul (Korea Selatan) dan Abu Dhabi (UAE).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.