1 Disember 2023, 22:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Balai Seni Negara menganjurkan Pameran Arkib Eric Peris yang memuatkan lebih daripada 100 dokumen arkib, keratan akhbar, brosur, serta karya seni dan koleksi seni visual negara di Galeri Potret Negara.

Menurut Balai Seni Negara, Pameran Arkib Eric Peris yang berlangsung hingga Mei tahun hadapan merupakan usaha dokumentasi yang komprehensif dalam menyoroti perjalanan seni O. Don Eric Peris, iaitu seorang artis yang telah meninggalkan jejak dalam seni rupa halus serta fotografi jurnalistik di Malaysia.

O. Don Eric Peris (tengah) ketika sesi perasmian Pameran Arkib Eric Peris.

Balai Seni Negara dalam satu kenyataan menyatakan bahawa, “Eric Peris ialah seorang tokoh penting dalam dunia fotografi Malaysia dan begitu komited terhadap seninya selama lebih empat dekad. Dengan karier yang merentang dari awal tahun 1980-an hingga kini, beliau menjadi tokoh penting dalam membentuk naratif seni tempatan.”

Eric Peris telah muncul sebagai salah seorang suara peneraju dalam fotografi Malaysia bersama Almarhum Ismail Hashim, mengabadikan esensi budaya, sejarah, dan masyarakat negara ini melalui lensa beliau.

Sebagai penghormatan terhadap karyanya, Balai Seni Negara mempersembahkan Pameran Arkib Eric Peris yang menggali perjalanan artistik beliau dengan lebih dalam termasuk sumbangan beliau terhadap perkembangan fotografi jurnalis lokal dan seni rupa halus yang mencerminkan keunikan identiti Malaysia.

Kenyataan itu turut menyatakan bahawa, pameran tersebut bukan sahaja menghormati pencapaian cemerlang beliau, malah turut memberi penekanan mengenai peranan galeri dalam melindungi dan memperingati ikon sejarah seni Malaysia selain dapat memberikan inspirasi dan memberi kesedaran akan kepentingan seni dalam membentuk kepelbagaian budaya Malaysia.

Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Shaik Rizal Sulaiman ketika mengunjungi pameran sambil diiringi oleh O. Don Eric Peris.

Majlis perasmian pameran tersebut telah berlangsung semalam yang disempurnakan oleh Pengerusi Yayasan Sutra, YBhg. Datuk Ramli Ibrahim. Turut hadir pada majlis perasmian ialah Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, YBrs. Encik Shaik Rizal Sulaiman dan Ketua Pengarah Balai Seni Negara, YBrs. Encik Amerrudin Ahmad.

Dalam majlis yang sama, Balai Seni Negara turut menganjurkan program Sembang Seni “Photography Art Talk: Alchemy of Light” oleh YBhg. Datuk Ramli Ibrahim di Auditorium Balai Seni Negara.

Sumber Foto: Balai Seni Negara

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.