Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangIpoh – Festival Seni Antarabangsa Ipoh 2023 kali ini tampil dengan tema “Marcapada: The World Today”. Majlis pembukaan festival telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada pukul 8.30 malam, 2 Disember 2023 di Bazaar Ipoh (Silveritage).
Penganjur utama festival tersebut ialah People of Remarkable Talents (PORT) dengan kerjasama daripada Balai Seni Negara serta sokongan daripada Majlis Bandaraya Ipoh, Majuperak Holdings Berhad dan Tourism Perak.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh pihak PORT, objektif utama penganjuran festival tersebut adalah untuk menjadikan Ipoh sebagai salah satu kota yang mempunyai festival “signature” tahunan yang boleh menarik para pelancong, peminat seni, pengkaji budaya dan kolektor dari dalam dan luar negara.
Hal ini selaras dengan pencapaian status Bandar Kreatif UNESCO yang diterima Ipoh baru-baru ini. Festival Seni Antarabangsa Ipoh 2023 diharapkan dapat menjadi salah satu entiti yang boleh melengkapkan ekosistem seni dan budaya tempatan.
Sebelum majlis perasmian, Sada Borneo tampil membuat persembahan pentas mengalu-alukan kehadiran peserta dan tetamu jemputan. Dalam ucapan perasmian, YAB Menteri Besar Perak berkata festival tersebut mampu dijadikan sebagai titik temu yang merentas sempadan.
“Seiring dengan tema festival pada tahun ini, iaitu “Marcapada: The World Today”, masyarakat berpeluang menyaksikan karya-karya seni kontemporari yang banyak menyentuh persoalan sejagat, keberadaan dunia seni, dunia pada masa ini, cabaran perubahan teknologi, pemeliharaan alam sekitar dan isu-isu kemanusiaan yang merupakan antara intipati yang diterjemahkan ke dalam bentuk karya-karya seni dengan unik dan penuh estetik. Sesungguhnya festival sebegini boleh dijadikan titik pertemuan sebagai praktis dan disiplin ilmu yang merentasi generasi serta kaum untuk saling mengenali, memahami dan menghormati amalan budaya dan kepercayaan masing-masing.”
Dalam masa yang sama, beliau berharap festival tersebut mampu melonjakkan nilai seni dalam masyarakat dan meletakkan elemen seni sama penting dengan bidang profesional lain.
“Saya menaruh keyakinan bahawa penganjuran Ipoh Intenational Art Festival 2023 ini berupaya membawa mesej yang jelas kepada masyarakat khususnya kepada warga Perak Darul Ridzuan bahawa bidang seni dan kreativiti juga boleh memainkan peranan yang sama penting dengan bidang-bidang profesional yang lain. Ini kerana seni itu sifatnya abstrak dan sejagat. Seni dapat dipandang, didengar, dan disentuh oleh jiwa tetapi tidak mudah dinyatakan melalui kata-kata dan bahasa.” jelas YAB Datuk Seri Saarani Mohamad.
“Tokoh ilmuan Islam Al-Farabi menjelaskan bahawa seni sebagai ciptaan yang membentuk keindahan. Al-Ghazali pula menjelaskan bahawa seni sebagai sesuatu yang berkaitan dengan rasa jiwa manusia yang sesuai dengan fitrahnya. Disebabkan sifat seni itu juga sesebuah karya seni yang baik akan berupaya mencambahkan ilmu serta buah fikiran. Kekal menjadi tatapan dan rujukan yang merentasi zaman. Dalam hal ini orang-orang seni sememangnya mempunyai kelebihan untuk menzahirkan karya-karya seni yang boleh membuatkan kita merenung kembali tujuan, peranan serta tanggungjawab kita dalam kehidupan ini,” tambah YAB Datuk Seri Saarani Mohamad.
Festival Seni Antarabangsa Ipoh 2023 yang menghimpunkan lebih 100 orang seniman berlangsung selama sebelas hari bermula dari 2 Disember hingga 12 Disember 2012 di beberapa lokasi sekitar Ipoh. Antaranya termasuklah di Aras 1, Bazar Ipoh (Silveritage), PORT dan Ipoh Padang.