Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Perlis – Raja Muda Selangor, DYTM Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj menzahirkan keterujaan ketika berkenan meluangkan masa berangkat melawat pelaksanaan Projek Diraja Program Transformasi Kampung Nelayan Warna-warni Seberang Ramai di Kuala Perlis.
Turut berangkat ke salah satu destinasi pelancongan popular baharu di negeri Perlis tersebut ialah Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Keberangkatan baginda berdua disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Haji Mohd Nazim Haji Mohd Noor, Ketua Bahagian Pengurusan Zakat MAIPs, Syed Aisam Syed Idris Al-Habshe serta kepimpinan masyarakat setempat.
DYTM Tengku Amir Shah meluangkan masa kira-kira 30 minit bagi melihat sendiri keindahan kawasan tersebut selain berkenan mendengar sembah taklimat pelaksanaan program transformasi Kampung Warna Warni yang telah dilaksanakan bermula pada tahun 2020 ketika COVID-19 melanda dunia oleh MAIPs dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama pelbagai jabatan negeri dan persekutuan, pihak swasta, NGO serta penduduk tempatan.
Baginda turut berkenan menandatangani plak keberangkatan lawatan di Rumah Selangor dan dipersembahkan Tengkolok Putra Julang Darjat daripada MAIPs yang merupakan tengkolok rasmi Negeri Perlis sebagai adat memuliakan tetamu kenamaan sebelum berangkat pulang.
DYTM Tuanku Raja Muda Selangor berada di Perlis bagi mengadakan kunjungan sembah mengadap ke atas Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, DYMM Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.