Oleh Suyuthi Yusuf
18 Januari 2024, 16:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala LumpurĀ – Institut Kesenian dan Kajian Media Malaysia (SEMESTA) yang diketuai oleh YBrs. Prof. Ts. Dr. Mahadi J Murat melakukan kunjungan hormat kepada YBhg. SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada pagi tadi.

Kunjungan tersebut diadakan bertujuan untuk membincangkan usaha kerjasama antara SEMESTA dengan DBP selain bertukar-tukar idea dan pandangan antara pemegang taruh dalam industri perfileman, penulis, budayawan, ahli akademik dan tokoh-tokoh yang berkaitan. Selain itu, suatu program dan gerak kerja berkaitan dengan Gagasan Perfileman Melayu (GPM) bakal diadakan hasil daripada perbincangan ini.

YBhg. SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ketika memperkatakan tentang peranan bahasa dalam filem.

SN Dato’ Anwar Ridhwan dalam perbincangan tersebut menyatakan bahawa perlunya suatu konsep dan kefahaman yang jelas dibuat berkaitan dengan GPM. Terangnya,

Bahasa Melayu merupakan antara komponen penting dalam filem Melayu. Selain bahasa, idea juga diperlukan dalam filem. Idea yang saya maksudkan ialah bukannya mesej atau propaganda tetapi falsafah, kesan emosi, dan intelektual hasil daripada kekuatan skrip yang ditulis.

Selain itu, beliau juga menyatakan kesediaan DBP dalam membantu perkara tersebut dengan mengenal pasti karya-karya yang berkualiti dan bermutu untuk diadaptasi selain daripada membuat bengkel adaptasi dan pemurnian skrip.

Prof. Ts. Dr. Mahadi J Murat pula menyatakan bahawa dunia Melayu masih banyak khazanah yang tidak disentuh lagi. Beliau juga menyatakan bahawa untuk permulaannya, perlu diadakan apresiasi dan pengenalan kandungan filem Melayu di universiti-universiti tempatan yang melibatkan kelab apresiasi filem di universiti tersebut.

Selain membincangkan perkara-perkara tersebut, pertemuan itu juga menekankan bahawa pentingnya restorasi filem-filem tempatan dibuat dengan segera agar khalayak dapat menikmatinya selain memudahkan akses terhadap filem-filem tersebut.

Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), YBhg. Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib, pengarah-pengarah filem, Encik Adman Salleh dan Encik Anwardi Jamil, Tuan Haji Abdul Rahman Mat Dali (Studio Kembara), Ku Seman Ku Hussein dan para pensyarah iaitu Encik Suhaimi Juhan, Encik Mohd Kamal Arifin, Puan Siti Jasmina Ibrahim, Dr Hani Salwa Yaakub, Encik Azlim Ibrahim, dan Dr. Khairulfazi Saari

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.