19 Januari 2024, 10:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – YBhg. Dato Seri Haji Sahran bin Untai, Ketua Adat, Majlis Adat Tidung Sabah (MATS), merangkap penaung Karnival Adat Budaya Borneo kali ke-2 hari ini mengadakan kunjungan hormat bersama-sama dengan Ketua-ketua Adat Tidung dari empat daerah kepada YBhg. Datuk Jasni Matlani, Ahli Lembaga Pengelola DBP Malaysia dan Puan Aminah Awang Basar, Pengarah DBP Cawangan Sabah di Kompleks DBP Cawangan Sabah.

Pertemuan ini bertujuan membincangkan dan menjalinkan kerjasama di antara dua pihak bagi pelaksanaan beberapa kegiatan seperti penyelidikan bahasa dan budaya, penerbitan kamus, kolaborasi dalam pengisian program karnival serta undangan ke Karnival Pendidikan Adat Budaya Borneo kali ke-2, Pengisytiharan Rasmi Majlis Adat Tidung Sabah (MATS) dan Perasmian Sekolah Adat Anak Negeri Sabah (SAANS) di Kampung Jagung Merotai, Tawau pada Februari akan datang.

Ketua Adat, Majlis Adat Tidung Sabah (MATS), YBhg. Dato Seri Haji Sahran bin Untai.

YBhg. Datuk Jasni Matlani selaku Ahli Lembaga Pengelola DBP mengalu-alukan sinergi seumpama ini bagi mengukuhkan lagi fungsi dan peranan DBP dalam kalangan masyarakat. Manakala Puan Aminah Awang Basar bersedia menawarkan kepakaran karyawan DBP dalam membantu merealisasikan hasrat MATS menerbitkan buku dan kamus sebagai tanda sokongan kepada perjuangan pemartabatan adat budaya Tidung di Sabah.

Sesuai dengan slogan MATS iaitu “Adat Dijunjung, Oun Tidung Disanjung”, YBhg. Dato Seri Haji Sahran bin Untai juga berharap kerjasama ini sebagai salah satu usaha kesinambungan untuk mendidik generasi muda bagi mengelakkan kepupusan identiti melalui pendidikan selain untuk mengeratkan silaturahim dan memartabatkan serta mempromosikan adat budaya suku kaum Tidung di Sabah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.