Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pameran “Ningyō: Kesenian dan Kecantikan Anak Patung Jepun” anjuran Muzium Negara membawa pengunjung menerokai seni anak patung Jepun dan budayanya menerusi sejarah dan cerita rakyat Jepun.
Pameran ini merupakan hasil kerjasama antara Jabatan Muzium Malaysia (JMM) dengan The Japan Foundation Kuala Lumpur.
Menurut JMM, pameran ini merupakan jaringan kerjasama dalam mengukuhkan hubungan diplomatik kedua-dua buah negara yang telah mencapai 67 tahun pada tahun ini.
Tambahnya, perkongsian strategik komprehensif ini membuka lebih banyak peluang kerjasama dalam pelbagai bidang yang melibatkan ekonomi, keselamatan dan keamanan, sains, teknologi, inovasi dan persekitaran serta kemasyarakatan dan pertukaran budaya.
“Pameran ini yang menerokai anak patung Jepun dan budayanya dengan memberi tumpuan kepada empat bahagian iaitu “Ningyō untuk berdoa untuk tumbesaran kanak-kanak” yang digunakan dalam perayaan bermusim dan “Ningyō sebagai seni halus” untuk penghargaan, yang dicirikan oleh pelbagai teknik, teknologi, dan gaya.”
Selain itu, katanya, dua tumpuan lain ialah “Ningyō sebagai seni rakyat” yang menumpukan pada kepelbagaian tempatan dan kecantikan yang sederhana; dan “penyebaran budaya Ningyō” yang merangkumi kepelbagaian anak patung yang berterusan hingga ke hari ini.
Menurut Jabatan Muzium Malaysia, pameran ini menampilkan 67 anak patung Jepun yang memberikan pengenalan menyeluruh kepada budaya anak patung Jepun, daripada Katashiro dan Amagatsu, yang dianggap sebagai arketaip anak patung di Jepun, kepada anak patung tempatan yang mencerminkan iklim dan anekdot dari seluruh negara, serta anak patung berhias yang digemari di Jepun.
Pameran “Ningyō: Kesenian dan Kecantikan Anak Patung Jepun” ini berlangsung di Dewan Tengah, Muzium Negara dan dibuka kepada pelawat bermula dari 7 Mei hingga 8 Julai 2024.