13 Mei 2024, 15:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kepala Batas – Program Ramah Tamah Uniti Kaamatan dan Gawai telah diadakan bersempena dengan sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2024. Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Haji Abdul Razak.

Menurut Kementerian Perpaduan Negara, program ini menyediakan ruang yang penting untuk memperkenalkan budaya, etnik, kepelbagaian adat resam, dan keunikan dari Sarawak dan Sabah kepada penduduk Pulau Pinang.

“Program ini juga diharapkan dapat meningkatkan pengetahuan rakyat, khususnya di Pulau Pinang, mengenai kekayaan budaya dan kepelbagaian kaum di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Haji Abdul Razak menyempurnakan gimik perasmian Program Ramah Tamah Uniti Kaamatan dan Gawai.

Tambahnya, program ini turut menjadi platform yang ideal untuk memupuk semangat perpaduan dan integrasi nasional dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negeri Pulau Pinang.

Selain itu, katanya, melalui penghayatan dan penghargaan terhadap keunikan kepelbagaian kaum, budaya dan agama, kita akan dapat membentuk sebuah negara yang harmoni, sejahtera dan stabil.

“Lebih daripada sekadar perayaan, program ini juga bertujuan untuk membina semangat muhibah dan setia kawan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, budaya, dan agama,” maklumnya.

Persembahan kebudayaan dari Borneo yang dipersembahkan ketika majlis perasmian Program Ramah Tamah Uniti Kaamatan dan Gawai.

Tambahnya, dengan menjadikan elemen perpaduan sebagai pegangan utama dalam hidup bermasyarakat, penganjuran program tersebut dapat mencipta persekitaran yang mesra dan harmoni di Pulau Pinang.

Program ini yang dianjurkan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan agensinya serta jabatan dan agensi persekutuan melibatkan 27,000 orang terdiri daripada Jentera Perpaduan Pulau Pinang, Badan Bukan Kerajaan (NGO) Sabah dan Sarawak – Anak Borneo Semenanjung (ABS) serta Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA).

Antara pengisian yang disediakan sepanjang empat hari program ini berlangsung ialah kenduri rakyat, eksplorasi silang budaya, demonstrasi dan pertandingan memasak, aktiviti kebudayaan Borneo, pameran dan jualan barangan Borneo, pertandingan Ratu & Kumang, Unity Got Talent, persembahan artis Borneo, FoodUnites, e-sukan dan senam harmoni.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.