Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Menurut Ketua Pengarah Istana Budaya (IB), YBrs. Puan Zubaidah Mukhtar, Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) memang menjadi pilihan utama IB sebagai pengganti Panggung Sari, kerana amat sesuai untuk persembahan orkestra.
Antara keistimewaannya, tambah beliau, ialah arena tersebut boleh memuatkan hingga 1,000 orang penonton untuk satu-satu persembahan orkestra.
“Cuma, permohonan untuk Lambang Sari Series: Resilience & Triumph hanya diluluskan bagi satu hari sahaja,” jelasnya mengenai program yang bakal dilangsungkan di DFP pada 18 Mei ini bermula pukul 8.30 malam.
Puan Zubaidah menyatakan sedemikian ketika sesi soal jawab sidang media Lambang Sari Series: Resilience & Triumph di Lobi Bangunan Pentadbiran IB pada 7 Mei lalu.
Lambang Sari Series (LSS) bertemakan Resilience & Triumph merupakan satu dari program utama IB yang dijayakan oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK). Kini, LSS kembali membawa kegemilangan muzik klasikal Barat yang berjaya meraih sokongan masyarakat Malaysia melalui hasil jualan tiket bagi keseluruhan siri di pentas Panggung Sari, IB pada tahun 2023.
IB telah merasmikan Majlis Peluncuran Program Istana Budaya 2024, dan Buku Rekaan Kostum pada 29 Februari lalu dengan memperkenalkan tiga program utama yang bakal dipersembah pada tahun ini, iaitu Jangkauan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM): Sounds of Malaysia, Teater Muzikal Puteri Hang Li Po, dan LSS.
Oleh kerana memberi ruang kepada kerja-kerja penambahbaikan bangunan, khususnya bumbung dan dijangka akan beroperasi semula pada tahun 2026, selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2026, Panggung Sari, IB kini ditutup.
Namun demikian, itu tidak bererti karyawan IB “berehat” dan berpeluk tubuh tanpa sebarang kegiatan persembahan. Maka itu, IB menganjurkan persembahan seni bertaraf antarabangsa bagi tahun 2024, menerusi program yang disebutkan tadi.
Selain Zubaidah, turut hadir ialah YBrs. Encik Nasran Nawi, sebahagian daripada pemuzik OSK, dan pegawai IB.
Encik Nasran akan bertindak sebagai konduktor yang bertanggungjawab mengemudi 39 orang pemuzik OSK, dan 39 orang pemuzik jemputan yang dijangka menyuntik kelainan persembahan LSS.
Encik Muzaffar pula diberikan penghormatan membuat penampilan istimewa sebagai pemuzik tempatan piano solo dalam persembahan pada 18 Mei nanti.
Komposisi lagu akan dipersembahkan daripada komposer Barat terkenal, seperti Hector Belioz (Roman Carnival Overture, Op. 9), Maurice Ravel (Piani Concerto for the Left Hand in D Major, M. 82), dan Jean Sibelius (Symphony No 2 in D Major, Op. 43).
Muzaffar, anak jati Malaysia, yang sudah terkenal di negara-negara Asia dan Eropah, sering mengadakan masterclass dalam, dan luar negara. Beliau juga merupakan tenaga pengajar di Conservatoire de Rayonnement Departmental de Gennervilliers.
Gabungan hebat di bawah pimpinan Nasran ini pasti menerbitkan rasa teruja dalam menghayati muzik klasikal barat.
Bersempena dengan Kempen Gerak ini, Zubaidah menyeru orang awam agar merebut peluang keemasan untuk menonton, dan merasai sendiri program-program IB dengan lebih dekat, sebagaimana pementasan bertaraf antarabangsa dapat diadakan berhampiran dengan mereka.
“Harga tiket dan lokasi yang menarik untuk Lambang Sari Series: Resilience & Triumph ini dapat menjanjikan pengalaman menakjubkan sekali seumur hidup untuk anda semua,” katanya.
Oleh kerana diadakan di DFP, ertinya buat pertama kali IB menerusi Kempen Gerak yang dilancarkan pada tahun 2023, mempertonton persembahan di luar daripada pentas Panggung Sari.
Sementara itu, Nasran menyatakan rasa teruja beliau untuk memenuhi amanah sebagai konduktor, dan berharap para penonton akan puas menikmati persembahan LSS ini nanti.
Majlis sidang media tersebut turut diserikan dengan persembahan pembukaan oleh OSK, dan tayangan video promo LSS 2024.