15 Mei 2024, 17:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Budaya Wayang Kulit Kelantan perlu dilestarikan terutamanya dalam kalangan generasi muda demi kesinambungannya. Demikian saranan pembicara Syarahan Kijang Kencana 2024, YBhg. Kapten (B) Dato’ Profesor Emeritus Dr. Hashim Yaacob.

YBhg. Kapten (B) Dato’ Profesor Emeritus Dr. Hashim Yaacob menunjukkan buku tulisan beliau, Gaya Bahasa Wayang Kulit.

Syarahan Kijang Kencana 2024 yang diadakan tengah hari tadi ialah wacana ilmu anjuran Persatuan Kemajuan Wanita Kelantan di Kuala Lumpur dan Selangor (PUSPA) dan telah dilaksanakan di kediaman YM Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah.

YM Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah merupakan seorang daripada penasihat PUSPA selain YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Haji Abdul Karim dan YBhg. Profesor Datin Dr. Rahimah Haji Ahmad.

YBhg. Kapten (B) Dato’ Profesor Emeritus Dr. Hashim Yaacob ketika ditemui dan diajukan soalan oleh wartawan JendelaDBP tentang usaha melestarikan budaya wayang kulit dalam kalangan generasi muda menyatakan bahawa terdapat institusi seperti ASWARA yang menawarkan pengajian berkaitan dengan wayang kulit.

Penasihat PUSPA, YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Haji Abdul Karim.

Tambah beliau, “Sebenarnya kesinambungan wayang kulit ini terpulang kepada anak-anak muda. Anak-anak muda mesti belajar, kemudian menginovasikan wayang kulit supaya menjadi satu budaya yang baharu kepunyaan kita.”

Semasa sesi soal jawab, beliau mengulas tentang persoalan masa depan wayang kulit dengan menyatakan, “Sekiranya enam perkara yang dinyatakan dalam syarahan tadi dapat dilaksanakan, seperti memainkan wayang kulit dalam bahasa tempatan, menyuntik unsur kontemporari, perbanyakkan wacana, forum, penulisan serta sokongan pihak kerajaan, saya percaya masa depan wayang kulit akan cerah”.

Ujar beliau lagi, “Sangat baik kalau kita cuba mempopularkannya dalam kalangan anak-anak muda dengan menggalakkan mereka mencipta sendiri jalan cerita dan muziknya.”

Presiden PUSPA, Profesor Kehormat Dr. Azizah Hamzah ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

Terdahulu, menerusi syarahan beliau, YBhg. Kapten (B) Dato’ Profesor Emeritus Dr. Hashim Yaacob turut menghuraikan asal usul Wayang Kulit Kelantan, pelibatan Dollah Baju Merah sebagai dalang yang sangat terkenal, cerita wayang kulit yang dikaitkan dengan epik Ramayana, cerita tentang perebutan seorang perawan (Siti Dewi) oleh Sri Rama dan Rawana, unsur wayang kulit yang bertentangan dengan akidah Islam dan usaha membasmi unsur syirik dalam Islam menerusi wayang kulit.

YBhg. Kapten (B) Dato’ Profesor Emeritus Dr. Hashim Yaacob ialah Canselor di Innovative Universsity Collage Malaysia dan pakar di Pusat Pakar Patologi Mulut dan Perubatan Mulut Universiti Malaya selain pernah berkhidmat sebagai rektor di lima universiti.

Beliau yang mula berjinak-jinak dalam bidang seni wayang kulit sejak berusia 15 tahun merupakan anak seni yang berkebolehan selain turut berbakat dalam bidang penulisan. Beliau telah menerbitkan tujuh antologi puisi. Antologi “Aku Hanya Mahu ke Seberang” telah memenangi Anugerah Puisi Sastera Malaysia 2000/2001.

Dari kiri, YBhg. Kapten (B) Dato’ Profesor Emeritus Dr. Hashim Yaacob (penceramah undangan), YBhg. Profesor Datin Dr. Rahimah Haji Ahmad (Penasihat III PUSPA), YM Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah (Penasihat I PUSPA), YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Haji Abdul Karim (Penasihat II PUSPA), YBhg. Profesor Kehormat Dr. Azizah Hamzah (Presiden PUSPA), Puan Siti Hajah Khadijah Daud (Bendahari PUSPA) dan berdiri dari belakang, Ahli Jawatankuasa Eksekutif PUSPA.

Sementara itu, menerusi ucapan alu-aluannya, Presiden PUSPA, Profesor Kehormat Dr. Azizah Hamzah menyatakan bahawa PUSPA yang diterajui oleh penaung, iaitu YM Tan Sri Dato’ Paduka Tengku Noor Zakiah Tengku Ismail merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dalam bidang kebajikan terutamanya bidang pendidikan.

PUSPA juga menurut beliau terlibat dalam pembangunan keilmuan terutamanya menerusi penerbitan buku seperti buku biografi tentang profil dan pencapaian wanita Kelantan, iaitu Biografi Tokoh Wanita Kelantan Jilid I (2016) dan Biografi Tokoh Wanita Kelantan Jilid II (2020).

PUSPA juga sedang mengusahakan penerbitan buku berkaitan dengan gastronomi Kelantan yang tersohor.

Yang turut hadir ialah YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Rahman Shaari, YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Abu Bakar Hamid dan YBhg. Datuk Zaini Hassan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.