17 Mei 2024, 10:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Melaka – Institut Warisan Melaka (INSWA) mempergiat usaha menyuburkan warisan seni dan budaya di negeri ini dengan melaksanakan Program Sekolah Projek Angkat Seni Budaya INSWA.

Pengurus Besar INSWA, Drs. Mohd Nasruddin Rahman berkata, pada kali ini, program tersebut akan melibatkan sebanyak 19 buah sekolah menengah dan rendah dan telah bermula sejak bulan lalu.

Menurut Drs. Mohd Nasruddin juga, pihaknya telah menghantar tenaga pengajar terlatih ke setiap sekolah terlibat membabitkan ketiga-tiga daerah di negeri itu untuk memberikan bimbingan dan tunjuk ajar kepada murid dan pelajar sekolah terbabit.

Tambah beliau, program yang bermula sejak tahun 2001 bertujuan untuk menyuburkan warisan seni dan budaya di negeri ini. Semua pelajar terlibat akan diberikan latihan tarian, gendang warisan dan vokal bagi memastikan mereka menerima ilmu pengetahuan tentang budaya dan warisan.

“Setiap tahun INSWA menerima banyak permohonan sekolah di seluruh Melaka untuk menyertai Program Sekolah Projek Angkat Seni Budaya INSWA tetapi hanya beberapa buah sekolah terpilih pada setiap tahun.

“Pada tahun ini, program telah bermula pada 22 April lalu di Balai Adat Perkampungan Hang Tuah, Duyong. Kita menggabungkan tujuh buah sekolah terpilih menyertai program ini serta penganjuran bengkel di sekolah terlibat seluruh negeri,”katanya.

Drs. Mohd Nasruddin berkata, antara tujuh buah sekolah yang terpilih untuk menyertai program latihan itu ialah lima buah sekolah rendah, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Duyong, SK Ayer Molek, SK Bukit Baru, SK Datuk Palembang, SJK(C) Keh Seng dan dua buah sekolah menengah, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Perempuan Melaka dan SMKK Padang Temu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.