17 Mei 2024, 16:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ayer Keroh – Institut Tun Perak (ITP) mempelawa orang ramai menyertai Pertandingan Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka 2024.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri Melaka, YB Ngwe Hee Sem berkata pertandingan yang memasuki edisi kelima penganjurannya tahun ini menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM33,500.

Menurut YB Ngwe Hee Sem, sebanyak lima kategori akan dipertandingkan, iaitu kategori sekolah rendah, sekolah menengah, institut pengajian tinggi, bukan Melayu dan awam.

“Berbanding dengan empat edisi sebelum ini, pada tahun ini kita akan menyediakan tiga anugerah khas kepada pemidato, iaitu Pemidato Terbaik Piala Menteri Perpaduan, Persembahan Terbaik dan Anugerah Khas Juri.

Poster Pertandingan Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka 2024.

“Dengan adanya anugerah ini, kita berharap akan dapat mencapai sasaran sebanyak 3,500 penyertaan tahun ini dengan hadiah keseluruhan ditawarkan sebanyak RM33,500,”katanya pada sidang media di Ayer Keroh.

Hadir sama pada sidang media itu, Ketua Pegawai Eksekutif ITP, Profesor Dr. Mohamad Ainudin Iskandar Lee Abdullah.

Mengulas lanjut, YB Ngwe Hee Sem berkata, pertandingan tersebut juga diharap akan dapat memberikan pendedahan kepada masyarakat dan generasi muda agar memahami peranan Rukun Negara sebagai asas penyatuan dan jati diri rakyat Malaysia.

“Ini juga dapat menyuburkan semangat patriotisme dan cintakan negara berasaskan prinsip Rukun Negara dan menjadi satu daripada inisiatif bagi menyemai dan meningkatkan kefahaman rakyat terhadap prinsip Rukun Negara walau di mana mereka berada,” katanya.

YB Ngwe Hee Sem berkata, mereka yang berminat untuk menyertai pertandingan itu boleh mengimbas kod QR yang tertera di poster pertandingan atau dengan melayari laman sesawang rasmi ITP untuk mengetahui syarat-syarat pertandingan pidato tersebut.

“Pendaftaran dibuka bermula 13 Mei dan akan berakhir pada 26 Julai atau boleh membuat pendaftaran melalui pautan ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.