21 Mei 2024, 17:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Menerusi penampilannya memperagakan keanggunan baju tradisional Timur Hanfu di puncak tertinggi Menara Kuala Lumpur (MKL) baru-baru ini, model antarabangsa kelahiran Malaysia, Amber Chia, mencatat rekod baharu berjalan di pentas fesyen tertinggi Malaysia.

Keberaniannya menyahut cabaran untuk memperagakan kecantikan baju tradisional Cina itu menarik perhatian dan mendapat pujian warga maya berbilang bangsa.

Amber Chia dilamar oleh penerbit permainan mudah alih popular Moonlight Blade M untuk mempromosikan budaya klasik Hanfu yang mempunyai sejarah ribuan tahun.

Amber beraksi sedemikian selepas menerima lamaran pihak permainan mudah alih popular Moonlight Blade M untuk mempromosikan budaya klasik Hanfu yang mempunyai sejarah ribuan tahun. Auranya sebagai peragawati hebat ternyata memukau setiap mata pejalan kaki yang melihat beliau berjalan dengan penuh yakin di ibu kota, dengan menggayakan busana rona merah, beliau telah mencetuskan detik tular yang mencuri perhatian ramai.

Detik tersebut dirakamkan dalam sebuah video dan dimuat naik oleh Amber menerusi  laman sosialnya. Dalam masa sehari sahaja, video tersebut telah berjaya meraih lebih 200 ribu tontonan dan dibanjiri banyak komen positif diterima daripada warga maya pelbagai kaum.

Sebagai seorang figura yang terkenal dalam dunia fesyen tempatan, Amber mempamerkan sikap profesionalnya sewaktu menjalani penggambaran video di bawah matahari terik dan tidak mengeluh sedikit pun. Jadi, wajarlah nama beliau sentiasa disebut dan terus menjadi pilihan para penganjur hingga kini.

Aura Amber Chia sebagai peragawati hebat, memukau setiap mata pejalan kaki yang memandang ketika beliau berjalan dengan penuh yakin di ibu kota.

Tidak hanya berjalan di sekitar ibu kota, Amber turut mendaki MKL yang merupakan bangunan ketujuh tertinggi dunia. Rakaman video yang dibuat menunjukkan Amber berjalan di puncak tertinggi MKL tanpa dihalang oleh pagar keselamatan. Walaupun gayat dan berhadapan dengan angin yang kencang, tetapi beliau terus melangkah dengan berani dan yakin. Khabarnya, bagi memenuhi permintaan penggambaran yang penuh cabaran itu, pihak produksi telah melalui proses kelulusan yang amat ketat daripada pelbagai jabatan di MKL.

Lantaran lokasi penggambaran tersebut yang tertutup dan tidak pernah dibuka kepada orang awam, Amber telah diwajibkan untuk menandatangani surat pernyataan atas faktor keselamatan dan pertimbangan oleh unit jabatan terbabit.

Di samping melalui pentas fesyen tertinggi, Amber buat pertama kalinya turut melakukan transformasi kostum kecerdasan buatan (AI) yang mempamerkan keindahan Hanfu daripada dinasti yang berbeza. Kesemuanya bersempena dengan fitur yang ditampilkan dalam permainan video Moonlight Blade M.

Walaupun menghadapi sesi penggambaran yang mencabar, tetapi Amber berjaya menyelesaikannya dan meluahkan menerusi hantaran video tersebut, “Melangkah ke pentas altitud tertinggi di Malaysia berlatarbelakangkan keindahan langit, memperagakan keanggunan Hanfu yang abadi!”

Aksi Amber Chia yang menarik perhatian ramai dan mendapat pujian warga maya.

Diadaptasi daripada karya klasik The Black Blade oleh sasterawan unggul Timur, Gu Long, Moonlight Blade M telah mencetuskan fenomena permainan video di beberapa buah negara, termasuk China dan Korea sejak dilancarkan. Moonlight Blade M turut mendominasi pelbagai carta muat turun dan berjaya mengembangkan keindahan budaya Cina ke pelbagai industri termasuk fesyen, muzik dan pelancongan.

Bersempena dengan meraikan ulang tahun karya asalnya yang ke-50 pada tahun ini, landasan fesyen Hanfu yang diperagakan oleh Amber di MKL itu sekali gus mencatatkan satu lagi detik bersejarah untuk karya sastera terkenal berkenaan.

Pertunjukan fesyen di tempat tinggi di Malaysia pernah diadakan di dek pemerhatian (Skydeck) MKL. Namun demikian, lokasi yang menjadi landasan fesyen Amber itu terletak dua tingkat lebih tinggi yang menjadikannya tertinggi dan lebih mencabar.

Diterbitkan secara eksklusif oleh penerbit permainan terkenal Asia Tenggara, VNGGames dan dibangunkan oleh Tencent Aurora Studio, versi mudah alih Moonlight Blade M kini boleh dimuat turun secara percuma di platform App Store, dan Google Play Store Malaysia dan Singapura.

Ditubuhkan pada tahun 2004, VNG merupakan sebuah syarikat Internet dan teknologi yang menyediakan servis permainan (VNGGames), perisian pemesejan (Zalo), penstriman tunai dan perkhidmatan awan. VNG juga adalah unicorn teknologi pertama di Vietnam. VNG percaya pada kuasa Internet dan misinya adalah membawa pengalaman hidup yang lebih bermakna kepada para pengguna Internet. VNGGames turut mendukung semangat ini untuk membawa lebih banyak permainan yang berkualiti tinggi serta servis sampingannya kepada semua pemain di pasaran tempatan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.