24 Mei 2024, 17:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Melaka – Melaka bersedia menjadi tuan rumah penganjuran Hari Belia Negara (HBN) 2024 Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan selama tiga hari bermula pada 24 Mei 2024 di Dataran Pahlawan, Banda Hilir, kata Ketua Menteri, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Menurut YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, pemilihan Melaka sebagai tuan rumah merupakan pengiktirafan besar kepada kerajaan negeri sekali gus mengangkat martabat Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Melaka untuk menganjurkan acara besar di peringkat kebangsaan.

“Melaka telah bersedia menjadi tuan rumah dengan semua infrastruktur dan prasarana yang terbaik. Ini menunjukkan bahawa pengurusan keremajaan rakyat Melaka melalui persidangan belia mampu menarik minat di peringkat persekutuan,” katanya di majlis perasmian sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Melaka di Stadium Jasin.

Turut hadir pada majlis itu ialah Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Pegawai Kewangan Negeri yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Salhah Saleh; Exco Belia, Sukan dan NGO Negeri, V.P. Shanmugam dan Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET Negeri yang juga Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM), Datuk Khaidhirah Abu Zahar.

Sambutan HBN Peringkat Kebangsaan yang bakal menghimpunkan kira-kira 30,000 orang pengunjung seluruh negara bermula 24 Mei hingga 26 Mei bakal dirasmikan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 25 Mei ini dengan menawarkan pelbagai aktiviti menarik buat semua peringkat umur.

Dengan bertemakan “Yakin Boleh”, program yang akan diadakan di Dataran Pahlawan Banda Hilir itu turut menampilkan pelbagai pengisian program berdasarkan 10 agenda kerajaan termasuk aktiviti menarik seperti Fun Run, Zumbathon, Coffee Corner, Pertandingan e-sukan dan konsert HBN.

Turut bakal diadakan ialah pertandingan nazam, pameran autoshow, Pesta Rakan Muda Mudi, Jualan Rahmah FAMA, Jualan Bazar Belia serta acara kemuncak penyampaian anugerah belia kepada tokoh dan persatuan belia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.