Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangArau – Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) Perlis memohon agar pihak Tourism Malaysia (TM) memperkenalkan negeri Perlis terutamanya kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025 yang sedang rancak berlangsung sebagai destinasi baharu pelancongan dalam misi-misi promosi mereka baik di dalam mahu pun luar negara.
Perlis berhasrat untuk tidak ketinggalan menjadi tuan rumah bagi sebarang program berskala lebih besar daripada yang pernah dilaksanakan sebelum ini khususnya dalam subjek keilmuan, alam sekitar, warisan dan gastronomi serta pada masa yang sama mempromosikan Perlis Geopark secara berterusan. Hebahan mengenai tempat-tempat menarik dan tarikan utama pelancongan melalui pelbagai medium khususnya media sosial secara konsisten oleh pihak TM juga amat dialu-alukan.
Demikian dikongsikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis (Pembangunan), Rusdi Yahya bersempena dengan Majlis Sembah Mengadap oleh Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Yeoh Soon Hin ke atas Pemangku Raja Perlis DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Galeri Diraja Arau baru-baru ini.
Hadir sama ialah YAM Tengku Syarif Laksamana Perlis, Datuk Seri Diraja Syed Razlan Putra Jamalullail dan Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) Perlis, Nazzatul Shima Ahmad Sabri.
Majlis mengadap tersebut bertujuan untuk bertukar-tukar pandangan dan pengalaman tentang usaha dan inisiatif bagi merancakkan lagi sektor pelancongan yang boleh mensejahterakan lagi rakyat negeri Perlis.
Datuk Yeoh juga berkongsi beberapa cadangan perancangan bagi jangka masa pendek, pertengahan dan panjang yang menarik yang boleh dipertimbangkan untuk menambah baik sektor tersebut terutamanya dari segi promosi, dana, menaik taraf lokasi pelancongan dan juga kerjasama dengan pemain-pemain industri dari luar Perlis.
Perlis juga memohon kerjasama daripada pihak TM yang mempunyai jaringan yang luas termasuk antarabangsa untuk menjemput para pelabur serta pemain industri pelancongan terutama dalam bidang perhotelan untuk menilai sendiri segala peluang menarik yang boleh diterokai di Perlis.
DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra menyeru agar semua pihak khususnya pemain industri pelancongan di Perlis agar terus bekerja keras bagi menambah baik perkhidmatan kepada pelanggan dan inisiatif pemasaran masing-masing dalam usaha menarik lebih banyak pengunjung.