29 Mei 2024, 10:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Persembahan Tarian dan Muzik Melayu: “Ronggeng Melayu” oleh Nusantara Performing Arts Research Center (NUSPARC) telah membuka tirai Panggung Seni Tradisional (PST) pada 24 Mei yang lalu.

Menurut Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), “Ronggeng Melayu” ialah wadah budaya orang Melayu yang membawa erti lebih besar daripada sekadar menari atau perlakuan kesenian.

Tambah JKKN, fungsinya terhadap masyarakat sebagai memenuhi kehendak manusia untuk bersosial dan tarian itu menjadi medium pergaulan kepada kelompok sosial dan pelibatan secara menyeluruh tanpa membezakan darjat ataupun kasta, bersatu menari bersama dalam rentak yang berubah-ubah.

“Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui JKKN terus komited dalam menyemarakkan dan memartabatkan seni budaya negara dengan pelaksanaan PST2024 bertempat di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTIC),” kata JKKN dalam satu kenyataan.

Persembahan Tarian dan Muzik Melayu: “Ronggeng Melayu” oleh Nusantara Performing Arts Research Center (NUSPARC) baru-baru ini.

PST kembali lagi tahun ini dengan persembahan yang lebih menarik dan menghiburkan. PST merupakan medium persembahan kesenian tradisional Malaysia yang autentik dan klasik yang dilaksanakan secara berjadual di Kuala Lumpur sejak tahun 2013.

Tambahnya, pelaksanaan program ini telah disebarluaskan ke peringkat negeri melalui JKKN Negeri bermula pada tahun 2019.

Menurut JKKN juga, persembahan PST merangkumi tiga genre kesenian iaitu tari, muzik dan teater yang merupakan langkah pemuliharaan dan pengekalan seni warisan serta memartabatkan kesenian tradisional ke tahap yang lebih cemerlang.

“PST bukan sahaja untuk menjadikan Kuala Lumpur dan setiap negeri sebagai hab persembahan kesenian tradisional, malahan seterusnya mengangkat program ini sebagai produk pelancongan kebudayaan,” jelas JKKN.

Keunikan PST adalah untuk menonjolkan keindahan, kebudayaan dan kesenian tradisional masyarakat majmuk Malaysia yang diserikan melalui lima persembahan yang kaya dengan nilai estetika tersendiri.

JKKN menampilkan lima persembahan hebat bagi PST 2024.

JKKN memaklumkan selain “Ronggeng Melayu”, PST 2024 juga akan membawakan persembahan Rampaian Tradisional Cina, iaitu “Gema Kesenian Cina Malaysia” oleh Pertubuhan Kumpulan Kesenian Mahligai Budaya Kuantan pada 28 Jun dan 29 Jun 2024 dan Teater Tradisional Randai: “Kobau Den Lopeh” oleh Kelab Penggiat Seni Teater Negeri Sembilan pada 6 September dan 7 September nanti.

“Teater Klasik India: “Ayyappa” oleh Pertubuhan Kesenian dan Kebudayaan Sri Rathakrishanan Music & Arts Center pula akan menemui warga kota pada 27 September dan 28 September 2024 dan bagi penutup PST2024 pula, JKKN mempersembahkan pementasan dari Pertubuhan Teater Sanggar Kreatif Kuching yang akan membawakan persembahan Teater Legenda Melanau: “Tugau” pada 25 Oktober dan 26 Oktober 2024,” katanya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.