30 Mei 2024, 19:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Hanafi Mohd Yusof

Keunikan seni rumah tradisional Melayu yang menggunakan tanggam menjadi lambang warisan budaya yang kaya dan berharga, mencerminkan keindahan seni bina dan kearifan tempatan.

Kuala Lumpur – Keunikan pembinaan rumah tradisional Melayu semakin mendapat perhatian apabila nilai estetika budaya tempatan diperkayakan melalui seni miniatur.

Menurut Pengasas Galeri Seni Budaya World Culture Organisastion (WCO), Encik Foo Loke Kee, miniatur rumah Melayu yang disusun dengan pelbagai gaya dan suasana dapat memartabatkan perpaduan dan kearifan tempatan di negara ini.

Encik Foo Loke Kee mengatakan bahawa penghasilan miniatur rumah Melayu merupakan satu daripada inisiatif beliau dalam usaha melestarikan seni dan budaya tempatan di negara ini.

Setiap jenis rumah mempunyai keistimewaan dan keunikan seni bina tersendiri mengikut budaya dan sejarah masyarakat Melayu pada zaman silam.

Kata beliau,

Pembinaan miniatur yang direka berkisar tentang cara sesebuah rumah tradisional pada zaman dahulu yang dibina menggunakan sumber sedia ada di kawasan sekeliling.

“Rumah itu dibina tanpa menggunakan paku melainkan pasak dan tanggam bagi mengukuhkan binaan tersebut.

Demikian kata Encik Foo Loke Kee yang menjadikan seni miniatur sebagai hobi dalam forum Sembang Seni dan Budaya: Dari Rumah Melayu ke Miniatur bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) pada hari ini.

Forum yang dimudahcarakan oleh editor majalah Tunas Cipta, Encik Ahmad Sayuti Mohd Yusob itu menampilkan dua orang ahli panel, iaitu Pengasas Galeri Seni Budaya WCO, Encik Foo Loke Kee dan Pensyarah Jabatan Seni Bina dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Azreena Abu Bakar.

DBP mengadakan Sembang Seni dan Budaya: Dari Rumah Melayu ke Miniatur bersempena dengan PBAKL 2024 yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, WTC, petang ini.

Program anjuran Bahagian Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini membicarakan perihal seni bina rumah Melayu dalam konteks sejarah dan usaha mengekalkan kelestarian tradisi ini dalam bentuk miniatur.

Sementara itu, Dr. Azreena mengakui bahawa seni ukiran rumah tradisional Melayu jelas melambangkan identiti Melayu yang perlu dihidupkan kembali pada masa ini, khususnya dalam menyampaikan mesej tertentu.

Keunikan miniatur perkampungan Melayu yang dihasilkan oleh Encik Foo Loke Kee hanya menggunakan bahan terbuang dan terpakai.
Dr. Azreena Abu Bakar yakin bahawa seni warisan Melayu mempunyai kekuatan yang tersendiri.

Setiap motif ukiran yang dihasilkan dalam seni bina rumah Melayu memberikan erti yang tersendiri, malah turut diselitkan dengan peringatan, pengajaran dan perlindungan.

“Motif pada rumah Melayu banyak menggunakan unsur flora, fauna, kosmik, geometrik dan kaligrafi, sekali gus menaikkan seri tampak pada setiap sisi rumah itu.

Ujar Dr. Azreena,

Misalnya rumah Posah Sawal di Negeri Sembilan yang bermotifkan ayam berlaga pada serambi menunjukkan simbol kuasa dan menjaga kawasan.

“Janganlah jadi seperti ayam berlaga yang sering bergaduh.

“Motif itu memberikan peringatan kepada penghuni agar menjaga adab, terutamanya kaum lelaki untuk mengelakkan pertengkaran atau konflik semasa bermusyawarah.

Menyentuh tentang kepentingan pelestarian warisan melayu, beliau mengatakan bahawa seni rumah Melayu boleh diadaptasi pada pembangunan zaman moden ini mengikut kesesuaian struktur dan kawasan, selain meningkatkan kesedaran masyarakat dalam usaha memelihara seni budaya dan sejarah Melayu.

Dalam perkembangan lain, program ini turut mempamerkan reka bentuk landskap dan prop miniatur seperti diorama perkampungan Melayu dan rumah etnik dari Sarawak yang direka oleh Encik Foo dengan kerjasama pembuat miniatur lain.

Sehubungan dengan itu, majalah Dewan Budaya juga banyak mengetengahkan topik berkaitan dengan kepelbagaian seni dan budaya, serta pemartabatan tamadun bangsa.

Majalah Dewan Budaya mula diterbitkan pada Januari 1979 dan masih kekal hingga kini, yakni sasaran pembacanya terdiri daripada pemikir budaya, golongan profesional dan intelektual, pemimpin masyarakat, peminat seni dan budaya, pendidik, pelajar pengajian tinggi dan menengah atas.

Turut hadir sama dalam majlis itu ialah Pengarah Jabatan Penerbitan, DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa; Ketua Editor Bahagian Majalah, Dr. Rosmani Omar; dan ketua bahagian serta pegawai DBP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.