7 Jun 2024, 16:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Beberapa tahun lalu, penyanyi dan komposer terkenal tanah air, Faizal Tahir menyatakan impiannya untuk beraksi sepentas dengan seniman serba boleh Dato’ M. Nasir.

Impian Faizal itu tercapai tidak lama kemudian apabila beliau tampil bersama-sama Dato’ M. Nasir dalam sebuah konsert, walaupun bukan yang khusus bagi mereka.

Baru-baru ini, Faizal melangkah setapak lagi apabila menyanyi bersama-sama Dato’ M. Nasir dalam lagu berjudul Campak Bintang.

Justeru, hal tersebut menjadi sebuah sejarah untuk industri muzik negara apabila Dato’ M. Nasir dan Faizal bergabung dalam sebuah lagu duet pertama mereka ini yang diterbitkan oleh Faithful Music Sdn. Bhd. (Faithful Music) dan Luncai Emas Sdn. Bhd. (Luncai Emas).

Secara keseluruhannya, lagu Campak Bintang adalah sebuah karya yang menyatukan genre pop dengan warisan budaya Melayu serta membuktikan sinergi antara rentak muzik moden dengan irama tradisional.

Campak Bintang terhasil daripada kesatuan pop dengan warisan budaya Melayu, serta membuktikan sinergi antara rentak muzik moden dengan irama tradisional.

Dengan gabungan kreatif mereka yang tiada tandingan, Dato’ M. Nasir dan Faizal telah menyatukan irama dan sentuhan ikonik dalam sebuah lagu yang mencengkam hati serta merentasi generasi.

Menurut Faizal, Campak Bintang ialah lagu yang mengisahkan pengorbanan melepaskan sesuatu yang dicintai untuk mendapatkan sesuatu yang jauh lebih berharga.

Ditanya mengenai pemilihan Dato’ M. Nasir untuk berduet dengan beliau, Faizal menjelaskan perkara itu memang besar dan penting. Oleh itu, keputusannya tidak dilakukan sembarangan.

“Kami fikir kehadiran Dato’ M. Nasir amat diperlukan dengan kehendak lagu ini. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Dato’ M. Nasir dan pengurusan Luncai Emas memberikan kerjasama yang sangat baik,” ujar beliau, mewakili Faithful Music.

Nasir pula menegaskan bahawa dunia muzik tanah air telah digegarkan oleh bakat seperti Faizal dan hampir juga diselamatkan oleh penyanyi dan komposer ini.

“Saya lega kerana ada karyawan yang tidak kehabisan ilham melahirkan karya-karya baharu yang berkualiti seperti Faizal. Lagu ini sumbangan kami berdua ialah satu manifestasi,” tegas beliau.

Faizal Tahir melangkah setapak lagi apabila berduet bersama-sama Dato’ M. Nasir dalam lagu Campak Bintang.

Melodi Campak Bintang dicipta oleh Faizal sendiri bersama-sama Romeo, Glowrush dan juga Karim Karam.

“Kolaborasi ini hasil kerjasama kedua-dua pihak. Syukur ke hadrat Allah kerana dengan izin-Nya, sempurnalah sebuah lagi karya muzik daripada dua orang penyanyi ikon muzik tanah air, iaitu Dato’ M. Nasir dan Faizal Tahir,” kata wakil Luncai Emas pula.

Campak Bintang mendapat sambutan hangat. Namun demikian, Faizal memberitahu beliau belum mempunyai sebarang perancangan apabila ditanya mengenai projek akan datang.

“Tetapi, saya tidak menolak jika ada rezeki untuk berkolaborasi dengan Dato’ M. Nasir sekali lagi atau dengan penyanyi lain,” katanya.

Penggambaran klip video Campak Bintang telah dibuat pada 19 April lalu di Cine Studio untuk merancakkan lagi promosi lagu tersebut.

Para peminat boleh mula menontonnya di semua saluran digital dan video muzik di saluran YouTube Faizal Tahir pada 3 Mei lalu. Kesemua ulasan dan reaksi yang diberikan adalah positif.

Faithful Muzik dan Luncai Emas berharap agar Campak Bintang diterima oleh semua peminat Dato’ M. Nasir dan Faizal.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.