10 Jun 2024, 11:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Balai Seni Negara Langkawi dibuka semula bermula 8 Jun 2024 setelah selesai proses pengubahsuaiannya.

Menurut Pengarah Balai Seni Negara Langkawi, Encik Muhammad Hazrin Abdul Malek@Mokhtar, walaupun pembukaan secara rasmi kepada para pengunjung bermula pada 8 Jun tetapi terdapat aktiviti yang telah diadakan pada 7 Jun kerana hari tersebut merupakan cuti hujung minggu bagi negeri Kedah.

“Antara aktiviti yang diadakan pada 7 Jun dan 8 Jun ini di Balai Seni Negara Langkawi ialah Bengkel Seni: Seni dan Demonstrasi Cat Air Landskap Langkawi oleh Rohizad Shaari dan Bengkel Seni: Seni Cetakan Kolograf oleh Azam Aris,” jelasnya semasa menjadi tetamu dalam rancangan Apa Khabar terbitan Bernama TV.

Beliau berkata pihaknya berharap para pengunjung yang hadir ke Balai Seni Negara Langkawi bukan sekadar melihat karya seni tetapi juga meluangkan masa untuk membuat aktiviti yang ada di situ.

Tambah beliau, pelancong yang hadir ke Langkawi juga boleh hadir mengunjungi Balai Seni Negara selain destinasi-destinasi pelancongan menarik yang lain kerana di sini terdapat cenderamata yang boleh dibawa pulang kepada keluarga dan rakan-rakan selain menghayati karya-karya seni yang ada.

Balai Seni Negara Langkawi dibuka semula bermula 8 Jun 2024 setelah selesai proses pengubahsuaian.

Beliau memaklumkan bersempena dengan pembukaan tersebut turut diadakan pameran “Gambar Bergambar Gambaran”, pameran “Karya Pendidikan Seni Visual Negara” dan pameran “Community Based Tourism: Arca Dasar Laut Pulau Langkawi” dan terdapat juga ruangan “Curiosity Cabinet” yang akan dipamerkan nanti.

“Pada tahun 2024 ini, pihak kami juga akan melaksanakan dua aktiviti program seni yang besar, iaitu Projek Sunyi yang mengumpulkan 15 orang seniman selama dua bulan dan kaedah dalam pembuatan karya tersebut adalah secara penyelidikan,” maklumnya.

Tambahnya, aktiviti kedua ialah Projek Gugusan yang akan membuat pemetaan Pulau Langkawi dengan membawa 15 orang seniman untuk menggambarkan 99 buah pulau yang ada di sini.

Menurut beliau, pihaknya juga akan membuat persediaan Tahun Melawat Kedah 2025 pada tahun hadapan terutamanya semasa penganjuran Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ’25) dengan menganjurkan pocket program bagi meraikan budaya warga tempatan di tapak hospital lama Langkawi.

Beliau menjemput orang ramai terutamanya warga Langkawi mengunjungi Balai Seni Negara Langkawi kerana selain melihat karya-karya seni di sini, masyarakat juga akan mendapat maklumat lokasi-lokasi pelancongan yang kurang diketahui umum.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.