10 Jun 2024, 16:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Parit Bugis – Festival Reog Barong Antarabangsa 2024 telah dianjurkan pada 7 Jun dan 8 Jun di Keraton Mbah Anang, Muar, Johor. Festival ini memaparkan kesenian universal lima buah negara, iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura, Jepun dan Jerman.

Festival ini juga merupakan anjuran Persatuan Jawa Parit Bugis, Muar, Johor dengan kerjasama Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

Menurut Johar Paimin atau lebih dikenali sebagai Wakjo selaku Pengasas Persatuan Jawa Parit Bugis dan Pengerusi Koperasi Mbah Anang Muar Berhad, Festival Reog Barong 2024 merupakan festival antarabangsa yang pertama kali dianjurkan.

Persembahan istimewa oleh Jasmine Mireki Okubo dari Jepun.

Terdahulu, Pertandingan Reog Peringkat Nasional telah dianjurkan pada tahun 2022 dan 2023. Festival ini merupakan kesinambungan daripada beberapa program yang telah diadakan dan hal tersebut menjadi titik permulaan untuk mereka lebih berani melangkah ke peringkat antarabangsa.

“Sebenarnya, kita mahu hentikan polemik tentang reog itu milik siapa. Jadi, apa yang kita harus fikirkan adalah bagaimanakah kita membangunkan bukan sekadar reog malah bagaimanakah budaya Jawa ini akan dilestarikan di Malaysia terutamanya di Keraton Mbah Anang sebagai tempat pusat budaya Jawa di Malaysia,” ujar Wakjo ketika ditemu ramah dalam Rancangan Johor Di sana Sini (JDSS).

Antara acara yang diadakan ialah bengkel Reog Barongan oleh Bapak Wisnu. Seterusnya acara disusuli dengan forum “Masa ke Rasa: Reog Mendunia” oleh Profesor. Dr. Mohd. Kipli Abdul Rahman dari Pengajian Seni Persembahan Universiti Teknologi MARA (moderator), Dr. Rosdeen Suboh dari Fakulti Seni Kreatif Universiti Malaya (panel), Bapak Wisnu Hadi Prayitno, Ketua Dewan Kesenian Ponorogo Indonesia (panel), Dr. Tan Awang Besar, Setiausaha Bahagian Dasar Kebudayaan, MOTAC (panel).

Acara diteruskan lagi dengan Pertandingan Reog Barongan oleh lima kumpulan dari negeri Johor, antaranya termasuklah Seri Reog Setia Bakti Kampung Parit Nipah, Seri Agong Gemala Reog Kampung Parit Bugis, Semerah, Seni Reog Gemala Sari Parit Baru Sri Medan dan lain-lain. Bukan itu sahaja, terdapat juga persembahan istimewa dari negara Indonesia, Singapura, Jerman dan Jepun.

Festival Reog Barong Antarabangsa 2024 julung-julung kali dianjurkan.

Dr. Tan Awang Besar, Setiausaha Bahagian Dasar Kebudayaan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya berkata, “Seni budaya warisan ini akan berkembang tidak kira di mana-mana ia bertapak, di situlah akan berkembang mengikut komuniti. Sekiranya seni budaya warisan tidak diwarisi oleh anak-anak muda, sudah pasti apa yang kita ada hari ini akan hilang ibarat patah tidak tumbuh, hilang tidak berganti.”

Tambah beliau, beliau ingin menjadikan Keraton Mbah Anang sebagai pusat kebudayaan yang melibatkan komuniti di peringkat negeri Johor. Bukan itu sahaja, beliau juga menegaskan bahawa pihak kerajaan menyokong sepenuhnya segala usaha untuk mengangkat martabat seni budaya di peringkat komuniti. Selain itu, festival ini juga telah mendapat sumbangan piala pusingan daripada Bupati Ponorogo, Bapak Sugiri Sancoko.

Yang turut hadir dalam festival ini ialah Ir. Ts. Dr. Hajah Siti Fairus Hj. Zakaria, Pengarah Bahagian Pembangunan Infrastruktur, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia merangkap Penaung Persatuan Jawa Parit Bugis, YBrs. Tuan Mohamad Muda Bahadin, Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara dan Bapak Sigit Suryantoro Widiyanto, Konsul General Republik Indonesia, Johor Bahru.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.