10 Jun 2024, 16:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Pada 7 Jun lalu di GSC Starling Mall, telah berlangsung majlis Malam Gala dan Sidang Media Zim Zim Ala Kazim (ZZAK), iaitu sebuah filem terbitan Mawi World Entertainment Sdn. Bhd. (Mawi World), milik penyanyi terkenal tanah air, Mawi dan isterinya, Nora’ Asikin Rahmat dengan kerjasama AH 77.

Turut hadir para pelakon seperti Rosnah Johari, Bell Ngasri, Zarina Anjoulie, Man Raja Lawak, Anas Tahir, Ryan Bakery, Azman Naim, Santesh Kumar, dan Mawi sendiri, serta pendakwah bebas terkenal, Datuk Ustaz Kazim Elias yang memegang watak utama, Ustaz Kazim.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia, YBhg. Datuk Azmir Saifuddin Mutalib; Pengarah Urusan Skop Productions Sdn. Bhd., YBhg. Datuk Yusof Haslam; seniman legenda YBhg. Dato’ M. Nasir; Pengerusi FELDA, YBhg. Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek; mantan Ahli Parlimen Tanjung Karang, YBhg. Tan Sri Noh Omar; Nora’ Asikin dan kembarnya Nora’ Ain Rahmat; penata muzik, Dannas Huza Daud atau Oja; dan kru penerbitan ZZAK juga hadir.

Zim Zim Ala Kazim papar kisah benar dan pengalaman yang dilalui oleh Datuk Ustaz Kazim Elias.

Menariknya, sebelum tayangan ZZAK, para hadirin dihiburkan oleh Mawi yang mendendangkan lagu Kian, dan berduet dengan Datuk Ustaz Kazim untuk lagu malar segar Jumpa Mesra, dengan iringan gitar akustika oleh Oja.

Kisah Ustaz Kazim yang pernah berhadapan dengan penyakit misteri mendapat liputan pelbagai pihak. ZZAK ini diilhamkan daripadanya.

Menurut Mawi selaku penerbit merangkap pengarah filem ini (menggunakan nama Asmawi Ani), idea beliau tercetus semasa pertemuan dengan Ustaz Kazim.

Ketika berbual, tambah Mawi, Ustaz Kazim telah berkongsi kisah penyakit misteri yang dialaminya itu yang merupakan kisah mistik.

“Sebenarnya apa yang dilalui Ustaz Kazim itu lebih kurang sama dengan pengalaman saya,” jelas beliau yang meminta keizinan pendakwah terkenal itu untuk dijadikan filem.

Menurut Mawi, beliau sering mendengar ceramah Ustaz Kazim. Antara pengalaman yang pernah beliau lalui, katanya, ialah muntah darah.

“Saya juga pernah mengalaminya. Jadi, ada persamaan yang membuatkan saya mahu bertemu beliau untuk bercerita mengenai perkara tersebut,” jelas beliau yang lega apabila Ustaz Kazim terus bersetuju walaupun sebenarnya tidak sukar untuk diyakinkan.

Persembahan istimewa oleh Mawi pada Malam Gala dan Sidang Media Zim Zim Ala Kazim.

“Pada perjumpaan kali kedua, beliau menceritakan lebih mendalam. Pada perjumpaan seterusnya, saya membawa penulis skrip. Mengenai jalan cerita, saya paparkan kisah benar kira-kira 70 hingga 80 peratus dan selebihnya ditokok tambah agar penceritaan lebih menarik,” jelas Mawi yang bersyukur ZZAK diluluskan oleh Lembaga Penapis Filem.

Menurut penyanyi Aduh Saliha itu, ZZAK pernah dirancang untuk siaran di saluran Astro First pada Oktober 2022 bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul.

Namun begitu, jelas Mawi lagi, selepas pratonton, kumpulan produksi mendapati ZZAK berpotensi untuk tayangan di pawagam. Bagi menyesuaikan dengan tayangan pawagam, tambah beliau, beberapa pengubahsuaian dibuat termasuk kerja suntingan dan promosi.

“Cuma, dari sudut teknikal, saya bimbang jika gagal memenuhi ciri-ciri filem untuk pawagam,” ujarnya yang berharap para penonton tidak membandingkan ZZAK dengan filem Sheriff dan Panglima Awang yang menelan kos besar.

“Seperti yang Ustaz Kazim beritahu, kita tidak fahami sesuatu perkara itu jika tidak melaluinya. Setelah menempuh, hikmahnya kami dapat bekerjasama. Mungkin kisah kami ini untuk dikongsikan kepada orang ramai. Saya jadikan cerita ini dalam bentuk filem supaya dapat beri pengajaran kepada orang ramai,” kata Mawi.

Seperkara menarik, Mawi mengakui Ustaz Kazim meletakkan syarat jika mahu kisahnya itu diangkat menjadi filem yang hanya menelan kos RM600,000 sahaja ini, iaitu Ustaz Kazim sendiri mahu menjadi wira, walaupun sudah ada pilihan lain.

“Memang agak mengejutkan, tetapi saya kagumi keberanian beliau untuk berlakon,” jelas Mawi yang berpuas hati penggambaran selama 15 hari di kawasan sekitar rumah Ustaz Kazim di Kampung Manjoi, Ipoh dua tahun lalu berjalan lancar, meskipun ada berlaku beberapa kejadian mistik.

Pada satu ketika, kata Mawi, sewaktu mahu memulakan penggambaran, tiba-tiba penyakit Ustaz Kazim menyerang semula sehingga kulit beliau keluar darah. Mujurlah situasi berkenaan dapat diatasi dengan baik.

“Sebagai pembikin filem, saya sedia menerima sebarang kritikan, dan sudah biasa melaluinya. Bukan mudah untuk menghasilkan filem ini, tambahan pula saya bertindak sebagai penerbit, pelakon dan pengarah,” jelas Mawi sambil berharap penonton terhibur dan dapat menerima mesej yang ingin disampaikannya.

Selain persembahannya yang separa komedi, ZZAK dilihat memberikan peluang kepada Ustaz Kazim yang memang gemar menyanyi sewaktu berceramah. Walaupun lagu-lagu yang menghiasi filem ini hanya yang diberi nafas baharu, iaitu Bila Rumi Menari (nyanyian asal M. Nasir), Jangan Tinggal Daku (Allahyarham Tan Sri P. Ramlee), dan Jumpa Mesra (Allahyarham S. Effendi dan Allahyarham Datuk Ahmad Jais), tetapi perkara tersebut dapat menyerlahkan bakat nyanyian Ustaz Kazim.

Sementara itu, Ustaz Kazim mengatakan beliau tidak pernah menganggap dirinya diperguna oleh Mawi World untuk mengaut keuntungan sebaik ZZAK ditayangkan di pawagam.

“Episod hitam berkaitan gangguan sihir dan mistik yang saya hadapi telah diketahui ramai, malah diakui sudah tiba masanya dikongsikan sebagai pedoman dan pengajaran,” jelas beliau yang berpendapat orang ramai mahu menontonnya.

Apabila difilemkan, tambah Ustaz Kazim, penonton boleh membayangkan bagaimana kesakitan yang dialami, adegan memohon maaf, dan sebagainya walaupun diakui ada beberapa penambahan untuk mencantikkan lagi jalan cerita.

Jelas beliau seterusnya, perkara membabitkan perbuatan sihir atau mistik memang diceritakan dalam al-Quran serta telah berlaku sejak zaman Nabi Sulaiman dan Nabi Musa.

“Kalau kita menolak kewujudan sihir, maka kita menolak al-Quran. Al-Quran sudah menceritakan sihir ini wujud, dan termasuk dalam kategori dosa besar. Apabila al-Quran dan Nabi menyebutnya, maka sihir ini akan sentiasa ada dan diamalkan sehingga hari kiamat,” katanya yang dipersetujui Mawi.

Ustaz Kazim mahu penonton didedahkan dengan kesan buruk daripada perbuatan sihir termasuk memupuk kesedaran lebih menjaga tutur kata.

“Antara pengajaran dalam filem ini adalah bentuk tindakan yang wajar diambil ketika menghadapi sihir, merangkumi bacaan dan sebagainya. Saya mahu mengajak pendakwah dan orang ramai supaya lebih menjaga tutur kata kerana di luar sana ada orang yang marah, tersinggung atau kecewa, tetapi disembunyikan,” jelas beliau.

Sambil meminta ZZAK ditonton dengan tenang dan gembira, Kazim turut mengajak masyarakat supaya tidak mengamalkan sihir, lebih berhati-hati dalam setiap tindakan dan perlu sentiasa menjaga tutur kata.

ZZAK turut dibintangi pelakon terkenal Iqram Dinzly serta pempengaruh/pengguna YouTube popular Azman Naim dan Ryan Bakery, pelakon veteran Maimunah Ahmad serta Syanie Hisham dan Elvina Chua.

ZZAK mengisahkan sekumpulan pencari hantu (lakonan Bell, Anas, Santesh dan Elvina) yang sering melakukan aktiviti paranormal. Mereka kemudian menemui sesuatu yang aneh dan mendapati Ustaz Kazim dalam bahaya, lantas mengambil keputusan menyelamatkannya.

Rupa-rupanya penceramah bebas ini disihir oleh pengamal ilmu hitam lakonan Iqram, Zarina, Azman dan Ryan serta Muharram (Mawi), anak saudara beliau sendiri.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.