14 Jun 2024, 15:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Zaidah Zakaria

Kuala Lumpur – Selaras dengan fungsi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai gedung pembinaan ilmu, Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari menyeru warga DBP agar memperkasakan budaya dan minat membaca dengan ikhlas.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari ketika berucap meyempurnakan Majlis Perasmian Aktiviti Dekad Membaca Kebangsaan untuk Karyawan DBP di Anjung DBP.

Tambah beliau, “Di samping kita berusaha melaksanakan pelbagai aktiviti untuk menggalakkan masyarakat membaca, warga DBP perlulah terlebih dahulu menunjukkan contoh yang baik dengan membudayakan amalan membaca dalam diri dan organisasi terutamanya terhadap ilmu-ilmu yang disebarkan menerusi bahasa kebangsaan yang menjadi teras, fungsi dan tanggungjawab DBP.”

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari ketika menyempurnakan gimik Majlis Perasmian Aktiviti Dekad Membaca Kebangsaan untuk Karyawan DBP.

Beliau turut menggesa warga DBP memanfaatkan bahan bacaan yang banyak serta mudah diperoleh untuk menyuburkan budaya membaca tersebut.

YBrs. Dr. Hazami Jahari berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Aktiviti Dekad Membaca Kebangsaan untuk Karyawan DBP di Anjung DBP pada tengah hari tadi.

Ketua Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum, DBP, YBrs. Dr. Azizul Ismail ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

Terdahulu, Ketua Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum, DBP, YBrs. Dr. Azizul Ismail menerusi ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa warga DBP perlu menjadikan buku sebagai sahabat sejati dan hobi.

Hal tersebut tambah beliau, boleh melahirkan karyawan DBP yang berketerampilan dan berkeyakinan tinggi dalam melaksanakan tugas terutamanya ketika berurusan dengan pihak luar.

Karyawan DBP, Encik Muhammad Azrul Adam Jalani ketika membicarakan buku Putera Puteri Perpaduan dalam sesi bicara buku.

Aktiviti Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat DBP merangkumi lima aktiviti teras, iaitu membaca minimum 24 buah buku setahun, sesi bicara buku, membaca 10 minit setiap hari, sudut bacaan dan Kelab Buku DBP.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah Jabatan Penerbitan DBP; Puan Fauzilahyatun Mustafa, Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera; YBrs. Dr. Rusmadi Baharudin, ketua-ketua bahagian dan karyawan DBP yang lain.

Karyawan DBP bergambar bersama-sama Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari selepas majlis selesai.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.