3 Julai 2024, 10:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Panggung Seni Tradisional 2024 (PST 2024) diteruskan dengan “Gema Kesenian Cina Malaysia” yang dijayakan oleh 91 orang pemuzik dan penari.

Menurut Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), persembahan ini berlangsung selama dua hari, iaitu pada 29 Jun dan 30 Jun 2024 di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTIC) Kuala Lumpur.

“Gema Kesenian Cina Malaysia merupakan hasil karya daripada Pertubuhan Kumpulan Kesenian Mahligai Budaya Kuantan yang menampilkan Bonny Lee Teck Keong, SAP sebagai pengarah artistik persembahan,” katanya dalam satu kenyataan.

JKKN berkata, para penonton dapat menyaksikan persembahan Gendang Cina, Tarian Singa dan Naga, persembahan Alat Muzik Er Hu serta Opera yang merupakan antara elemen kesenian penting dalam budaya bangsa Cina sepanjang 90 minit persembahan tersebut.

Ledakan gemuruh Gendang 24 Musim merupakan antara persembahan yang mengujakan para penonton.

Dalam segmen pertama, ledakan gemuruh Gendang 24 Musim akan membuatkan para penonton yang hadir teruja apabila melihat tarian naga diikuti pergerakan sepasang singa melakukan aksi akrobatik.

Persembahan diteruskan dengan alunan melodi Gu Zhen dan Er Hu yang begitu mengasyikkan.

“Para penonton kemudian disajikan pula dengan Opera Cina Klasik bagi segmen ketiga dan seterusnya untuk segmen keempat, Gema Kesenian Cina Malaysia menampilkan kesenian Bian Lian, iaitu persembahan menukar topeng serta Diabola atau Yoyo Cina,” katanya.

Menurut JKKN, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui pihaknya terus komited dalam menyemarakkan dan memartabatkan seni budaya negara dengan pelaksanaan PST2024.

Tambahnya, program ini merupakan satu daripada usaha MOTAC bagi memastikan kelestarian seni persembahan tradisional di negara ini dapat diteruskan selain sebagai langkah pemeliharaan dan pengekalan seni warisan Malaysia dengan menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab persembahan tradisional dan variasi aset produk pelancongan negara.

JKKN juga berusaha memperlihatkan keindahan kebudayaan dan kesenian tradisional masyarakat majmuk di Malaysia pada setiap siri persembahan dalam PST kerana program ini bukan sekadar persembahan “sehala” tetapi merupakan serampang dua mata kepada kumpulan atau persatuan seni budaya untuk mempelajari pelaksanaan sesebuah produksi bagi sesuatu persembahan.

Tambahnya, langkah ini turut bertepatan dengan Teras Strategik JKKN untuk mempertingkatkan kebolehan pencapaian perkhidmatan seni dan budaya kepada komuniti bagi kesejahteraan rakyat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.