19 November 2024, 13:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Serdang Pemakaian busana baju kebaya Melayu tradisional mencerminkan pemakaian warisan budaya bangsa Melayu yang tidak pupus meskipun berkembang selari dengan peredaran zaman.

Busana ini masih sahaja utuh dengan sejarah dan makna tersendiri yang memperlihatkan keindahan serta kehalusan seni dan budaya Melayu.

Hal ini dijelaskan oleh Sasterawan Negara (SN) Siti Zainon Ismail sewaktu  Pameran Warisan Budaya Busana Bonda di Universiti Putra Malaysia, baru-baru ini.

Dalam pameran tersebut, beliau menyatakan pemakaian busana baju kebaya Melayu tradisional cukup masyhur dalam kalangan masyarakat Melayu di Nusantara apabila golongan wanita mula menggayakannya pada awal tahun 1800 sebagai identiti bangsawan ataupun dijadikan sebagai pakaian harian.

“Busana Melayu tradisional seperti kebaya, merupakan pakaian rasmi masyarakat wanita Melayu semenjak zaman kesultanan lagi”

“Pemakaian busana lengkap tradisional wanita Melayu ini dipakai lengkap bersama selendang serta aksesori wanita, menjadi lambang kepada identiti wanita Melayu yang tinggi martabatnya.”

Busana wanita Melayu tradisional dilengkapi dengan tiga elemen asas, iaitu baju, sarung, dan juga selendang.

Tambah beliau, busana baju kebaya dan baju kurung menjadi cerminan yang memantulkan identiti masyarakat yang berbilang kaum, bangsa serta budaya. Pemakaiannya tidak hanya dipakai oleh wanita Melayu, malah juga terkenal dalam kalangan baba nyonya.

Perkembangan pemakaian busana ini membawa kepada falsafah tentang penyatuan warisan budaya yang menggabungkan etnik Melayu-Cina.

“Baju kebaya dan baju kurung yang dipakai lengkap dengan kain sarung, selendang panjang yang dijadikan sebagai pelindung di atas kepala, ataupun selempang yang di bahu merupakan pola pemakaian sempurna dalam kerajaan negeri Melayu di Semenanjung Tanah Melayu,” katanya.

SN Siti Zainon Ismail juga berkata, nilai keindahan dan makna di sebalik busana tradisional wanita Melayu ini memperlihatkan kesopanan adab bagi wanita Melayu.

“Kesopanan dalam etika pemakaian Melayu tidak terpisah antara budi pekerti dan amanah yang seharusnya dijunjung tinggi oleh wanita Melayu”

“Begitu remaja sunti dititih dalam doa kalimah syahadah sambil jemari mengikat sarung ombak yang mengalun menyusun adab budi pekerti terpancar dari kesopanan pemakaiannya,” katanya.

Beliau berkata, ekoran daripada peredaran zaman busana Melayu tradisional tidak lari daripada evolusi, namun hal ini bukan kepincangan dalam mengekalkan keindahan serta nilai busana sebagaimana yang telah diturunkan oleh nenek moyang sejak dahulu kala.

“Perubahan pada rekaan busana seperti kebaya kebiasaannya di ubah semula mengikut kehendak pelanggan, seperti waktu zaman kegemilangan penyanyi tersohor tanah air, iaitu Saloma. Rekaan busana Melayu yang dipakainya diubah suai mengikut susuk tubuhnya untuk tampil lebih anggun ketika berada di atas pentas”

“Meskipun terdapat perubahan mengikut susuk tubuh misalnya, namun tetap sahaja pemakaian kebaya melambangkan busana wanita Melayu,” katanya.

Beliau turut berpandangan, busana tradisional Melayu bukan sahaja merupakan cerminan pada keindahan, estetika, dan kehalusan seni tempatan, tetapi membawa kepada identiti bangsa yang perlu kita lestarikan.

SN Siti Zainon Ismail menjelaskan keunikan dan keistimewaan busana yang dipamerkan.

“Siapa lagi yang akan memartabatkan penggunaan busana tradisional Melayu, jikalau bukan orang kita? Saya berharap menerusi inisiatif pameran ini, maka ilmu pendedahan ini dapat dijadikan teladan kepada orang kita bagi bersama-sama dalam mengekalkan martabat busana Melayu tradisional,” katanya.

Dalam pada itu, Muzium Warisan Melayu (MWM), Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini telah menganjurkan ‘Pameran Warisan Budaya Busana Bonda’ dengan kerjasama Galeri Melora.

Pameran itu turut menghimpunkan busana kebaya, baju kurung, selendang panjang yang dihasilkan oleh Almarhumah Ibu Hajah Bainah Haji Hussin Mahrajo bagi pendedahan kepada masyarakat untuk mendalami keindahan dan makna di sebalik busana tradisional Melayu khususnya wanita.

Antara koleksi busana wanita Melayu yang dipamerkan iaitu baju kebaya Selangor, baju kebaya sarung kain tenun selendang Terengganu, kebaya kelopak dada, baju kurung poket, baju kurung bercorak bunga raya, baju pesek enam, baju kurung bunga tabur, kebaya lama Melaka, dan baju kebaya Gombak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.