Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dengan bertemakan “Maya”, IMMERSIO 2024 menghidupkan warisan sejarah, mitos, kepelbagaian budaya, dan keindahan alam Asia Tenggara melalui lebih 50 karya seni digital dan arca interaktif media baharu.
Pameran ini menyatukan hasil kreativiti 32 artis (individu dan berkumpulan) dari Malaysia, Indonesia, Jepun, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Bertempat di GMBB, Bukit Bintang, pameran yang berlangsung dari 22 November hingga 22 Disember 2024 ini menampilkan pelbagai karya unik, merangkumi empat subtema utama, iaitu Chronopolitics (Kronopolitik), Quest (Kembara), Diaspora dan Symbiosis (Simbiosis).
Setiap subtema meneroka perspektif baharu dalam menilai semula struktur sosial dan budaya Asia Tenggara melalui seni digital interaktif dan inovatif.
Menurut artis multimedia merangkap kurator IMMERSIO 2024, Abdul Shakir Abu Samah, pameran ini mencabar sempadan pemikiran dan menjadi wahana idea, kreativiti dan kerjasama antara pengamal seni berkembang.
“Tahun ini, kami menghimpunkan artis media baharu dan pengamal teknologi kreatif dari seluruh Asia Tenggara. Ini adalah wahana untuk meneroka gabungan pelbagai gaya seni, menampilkan pempamer daripada pelajar universiti serta artis mapan,” katanya dalam sesi bersama media.
Pameran ini dikurasikan oleh Koh Kai Ting, yang mengundang pengunjung untuk berinteraksi secara langsung dengan seni digital dan arca yang dipamerkan. Pameran ini tidak hanya mengangkat seni media baharu, tetapi juga menawarkan ruang bagi imaginasi kreatif dan refleksi sosial kepada pengunjung.
Festival seni media baharu ini menawarkan pengalaman tiga pertunjukan seni dibawa h payung IMMERSIO, iaitu Pameran Maya, Kolektif Malaysia dan Asia Tenggara serta iNYALA.
Dalam pameran Maya, pengunjung dapat menikmati karya artis terkemuka seperti Arrvin Raj, Aw Boon Xin dan Koh Kai Ting, bersama-sama nama lain dari Malaysia termasuklah Cahaya Create, Jay Young, Tan Kian Ming, Kicau Bilau, Raito Low, Silas Oo Wei Sheng, Shafiq Amirul, Suzy Sulaiman, Rufiyan Ramli, Tan Yun Yi, Tan Zi Hao dan Zafree Azhar.
Artis antarabangsa seperti Kinnara: Desi La (Jepun), Pauline Despi (Filipina), Dara(h) Collective (Singapura dan Indonesia), Fong Wei Han, Siew Guang Hong (Singapura), Kenenza Michiko (Indonesia) dan Pavee (Thailand) turut memeriahkan pameran.
Pameran berkumpulan pula menampilkan penggiat seni berkumpulan tempatan seperti Kapallorek (Perak), Mud Layar (Selangor), Tumbuktikus (Kelantan) dan Zontiga (Kuala Lumpur).
Pempamer antarabangsa pula melibatkan nama seperti Command.io (Malaysia dan Singapura), GengRambutan (Indonesia), Makmur Djaja (Indonesia), 084Visual (Vietnam), LIVEHUMANSUBJECT serta SG Creative Technologist dari Singapura.
INYALA, segmen khas yang menonjolkan karya pelajar dari institusi yang menyediakan kursus seni seperti The One Academy, Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM), membuka ruang untuk memperkenalkan perspektif segar daripada artis generasi baharu.
Pameran ini menjadi platform untuk meneroka keindahan seni media baharu sambil mencerminkan pelbagai budaya, tradisi dan teknologi dari rantau Asia Tenggara.
Tumbuktikus mempamerkan seni yang menginterpretasikan tikus sedang menonton televisyen dengan kandungan berkaitan tikus, mencerminkan hubungan simbolik antara haiwan dengan budaya popular.
Berbeza daripada pempamer lain, Mud Layar bereksperimen dengan penghasilan imej analog tanpa menggunakan sebarang alat pengimejan digital.
Paradise oleh Tan Kian Ming memfokuskan patung dan haiwan batu di tanah perkuburan Cina di Malaysia dari era British-Malaya.
Karya ini menggabungkan teknik pemetaan visual dengan elemen permainan digital bertemakan corak batik.