Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangArau – Pembukaan tirai tahun 2025 menyaksikan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan Majlis Hi-Tea dan Himpunan Kenderaan Klasik Malaysia yang diadakan di Laman Warisan, Bandar Diraja Arau pada Sabtu lalu.
Keberangkatan tiba baginda yang memandu sendiri kereta jenis BMW 320i Cabriolet 1990 diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan disambut oleh Pengarah Urusan Ummul Travel And Tours Sdn. Bhd., YBrs. Tuan Rizwan Ahamed Badruddin.
Program tersebut dianjurkan oleh Ummul Travel and Tours Sdn. Bhd. dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kangar, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Arau serta masyarakat tempatan.
Program tersebut mendapat sambutan yang memberangsangkan dengan penyertaan lebih 50 orang pemilik dan peminat kenderaan klasik dari seluruh Semenanjung Malaysia termasuk Terengganu, Kelantan, Johor dan beberapa buah negeri lain serta kelab kenderaan klasik dari negara jiran, iaitu Thailand.
YBrs. Tuan Rizwan Ahamed Badruddin dalam ucapannya memaklumkan bahawa penganjuran program ini sebagai platform untuk memperkukuh hubungan antara komuniti, di samping mempromosikan warisan budaya dan kenderaan klasik yang unik, estetika dan nostalgia.
Menurut beliau, program ini turut menjadi program pembukaan tirai tahun ini yang menandakan permulaan usaha yang lebih besar untuk mempromosikan Perlis sempena kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025.
Ujar beliau lagi, kempen tersebut merupakan inisiatif yang signifikan dalam usaha merealisasikan negeri Perlis sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia dan serantau serta diharapkan program tersebut menjadi pemangkin kepada kejayaan yang lebih cemerlang kepada negeri utara Semenanjung itu.
Program ini menjadi lebih istimewa kerana berlangsung dalam semangat Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, menandakan 25 tahun pemerintahan Baginda yang penuh bijaksana dan berjiwa rakyat.
“Acara ini turut diraikan sempena Ulang Tahun Keputeraan DYTM Tuanku Raja Muda Perlis Ke-57”, kata beliau.
Dalam program tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berkenan menyempurnakan simbolik upacara memotong kek sempena hari keputeraan baginda.
Dalam pada itu, program Himpunan Kenderaan Klasik Malaysia dimeriahkan lagi dengan menyaksikan Haji Ibrahim Said dengan kenderaan jenis Mercedes Batman memenangi Anugerah Kereta Klasik Pilihan (50an dan 60an).
Manakala pemenang bagi Anugerah Kereta Klasik Pilihan (Kategori 70an dan 80an) dan Anugerah Best of The Best pula masing-masing disandang oleh Datuk Halim Mohamaed dengan kenderaan jenis Mercedes C114 Coupe dan Haji Yusof Ali, jenis kenderaan Batman 1965.