Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang‘’Silatku bukan untuk mencari musuh, tetapi untuk menjadikan bangsaku ampuh’’
Tulisan oleh Raihani Mohd. Saaid menyentuh tentang lagu tema filem Gayong yang bertajuk Malam Nestapa.
Pada 8 Mei 2025, filem Gayong yang berdasarkan riwayat hidup pengasas Pertubuhan Silat Seni Gayong, iaitu Allahyarham Dato’ Meor Abdul Rahman Uda Mohd. Hashim telah ditayangkan di seluruh negara. Filem terbitan SOL Pictures ini diarahkan oleh Faisal Ishak dengan menampilkan Beto Kusyairy, Nabila Huda, Yayan Ruhian dan Syafie Naswip sebagai pelakon utama.
Langkah bermula
demi sayang
biar seribu gelombang
yang merintang
Biarpun rebah
kita bangkit berdiri
teguh di sini
ikrarkan janji
Lagu Malam Nestapa bermula dengan kata “langkah”. Watak Meor muncul kali pertama dalam sebuah pertarungan di Royal Club Ipoh. Latar zaman kolonial menunjukkan semua yang ada di situ, termasuk sekumpulan lelaki dan wanita Inggeris menikmati pertarungan dan pertumpahan darah.
Aksi-aksi ganas di gelanggang pertarungan menjadi hiburan bagi mereka. Meor melangkah masuk untuk mempertahankan Panglima Merah, seorang anak Melayu yang dibelasah teruk oleh Worawut, seorang jaguh Muay Thai. Meor mengajar Worawut dan semua yang ada di situ melalui ucapannya ‘’Bukan resam seorang pendekar memukul lawan yang sudah tidak berdaya.’’
Dengan ketangkasannya, Meor menunjukkan bahawa ilmu silat merupakan “Seni Bela Diri”, bukan seni menyerang. Lawan sekadar dilumpuhkan supaya tidak terlalu angkuh dan tidak membahayakan masyarakat.
Meor menunjukkan teladan bahawa musuh yang sudah lemah tidak perlu diserang lagi, dan jika dia sudah mengalah, angkatlah semula dan pimpin ke jalan yang betul. Setelah selesai “mengajar” musuh sebagai tanda mempertahankan maruah bangsa, Meor memberi sembah hormat kepada Panglima Merah, dan sembah hormatnya dibalas kembali.
Meor dan ahli keluarganya melangkah keluar ke Singapura dari Taiping untuk membina kehidupan baharu. Apabila penduduk kampung meminta Meor mengajar mereka langkah silat gayong, Meor dengan penuh rendah diri menolak. Apabila ditawarkan menjadi jurulatih tempur tanpa senjata kepada pegawai tentera Inggeris di Berek Gillman, Meor juga menolak kerana menurut beliau, Master Chan yang sudah sedia berkhidmat sebagai guru di situ jauh lebih berkelayakan.
Namun begitu, akhirnya Meor memenuhi permintaan orang-orang kampung untuk berlatih ilmu mempertahankan diri kerana manfaatnya sangat besar pada hari kemudian. Atas kebijaksanaan dan kepimpinan Meor, Pulau Sudong berjaya dipertahankan daripada serangan Jepun.
Meor juga melangkah kembali menerima tawaran sebagai jurulatih tempur kerana memikirkan manfaat kepada keluarga, lebih-lebih lagi beliau baru sahaja dibuang kerja sebagai mekanik di berek tersebut. Dari sudut sejarah, Dato’ Meor Abdul Rahman merupakan anak Melayu pertama yang ditawarkan sebagai jurulatih tempur seumpama itu kepada tentera Inggeris. Meor tahu bila langkahnya perlu dideraskan, bila perlu diperlahankan, bila perlu disembunyikan dan bila perlu ditarik kembali.
Laut pun berkisah
Malam terbakar, pantai pun tercalar, terhiris,
Padamkan segala, tulis kembali
cerita kita yang bahagia.
Inilah janjiku
Malam nestapa ini biarlah segera berlalu
Inilah janjiku
Mentari pun tersenyum
Membawakan cahaya demi impianku, sempurna.
Mengapakah tajuk lagu tema ini Malam Nestapa? Pada waktu malamlah bermulanya babak duka, mengalirnya seribu luka. Kampung diserang oleh tentera Jepun dan penduduk kampung menyelamatkan diri dengan berperahu ke Pulau Sudong pada waktu malam.
Ketika perahu terbalik dan isteri Meor, iaitu Som hampir lemas semasa cuba menyelamatkan anak dan senjata sundang lipas, kita juga ikut lemas melawan gelombang. Pantai terhiris apabila ada yang tersayang mati. Meor juga dicabar bertarung dengan seorang pegawai tentera Jepun di pantai dan beliau menyahutnya kerana yang terhiris adalah maruah bangsa.
Malam menjadi lambang kegelapan dan penindasan. Cerita duka bangsa mesti dipadam dan ditulis kembali dengan cerita bahagia. Harapan akan datang dengan ketabahan dan gigih perjuangan.
Milik ini genggamlah
Genggam dengan jiwa
Bergema suara
Ini janjiku
Tertulis nama kita
Gayong adalah cerita Allahyarham Dato’ Meor Abdul Rahman membawa bangsanya ke persada antarabangsa dalam bidang persilatan. Bangsa yang dijajah akan bangkit menegakkan maruah. Meor menunjukkan bahawa bangsa ini tidak boleh dipijak sesuka hati, keras dalam santunnya dan agama menjadi paksi perjuangan.
Dalam satu babak, askar penjajah telah mencampak ketayap Mat (lakonan Syafie Naswip) ke lantai selepas beliau solat bersama Meor. Ketayap atau songkok membawa makna besar dalam adab dan adat Melayu, yakni tanda orang berbangsa, tanda orang tahu adat budaya, tanda orang hormat majlis serta tanda orang boleh berunding.
Apabila dipakai untuk solat,itu tanda pengabdian kepada Allah. Anggota badan yang paling tinggi juga dialas untuk sujud kepada-Nya. Ketayap atau songkok adalah lambang maruah.
Lantas, apabila ketayap Mat dipermainkan oleh penjajah, Meor marah bukan kepalang. Dadanya meledak melihat “maruah” yang dicampak. Meor menyimpan dahulu ketayapnya dalam saku baju sebelum bertumbuk terajang dengan orang putih. Apa yang dipakai semasa solat tidak akan dipakai semasa berkelahi.
Penulis skrip dan pengarah filem amat memahami pengkaedahan Melayu. Meor memiliki arketaipal seorang guru silat dan arketaipal ini telah difahami sekian lama oleh pembikin filem yang baik, termasuk oleh Seniman Agung P. Ramlee. Misalnya melalui watak Wak Mustar dalam Pendekar Bujang Lapok. Walaupun dalam genre komedi, Wak Mustar menjadi arketaipal guru yang tahu bila sewajarnya beliau bersabar dan bila waktu yang sesuai untuk menunjukkan belangnya. Hanya selepas ditindas dan dizalimi, Wak Mustar “memperkenalkan” siapa dirinya di hadapan ketua samseng.
Filem Gayong bukanlah filem pendekar tetapi filem yang menunjukkan bagaimana silat menjadikan seseorang itu manusiawi; menjadikan seseorang itu ketua keluarga yang penyayang, penduduk yang tahu cara hidup bermasyarakat, umat Islam yang mempertahankan kesucian agamanya, guru yang tidak suka menunjuk-nunjuk serta anak watan yang cukup tinggi semangat kebangsaannya. Malam nestapa akan segera berlalu, pagi cerah akan tiba membawa harapan kepada yang tekal mempertahankan miliknya.
_____________________________________________________________
RAIHANI MOHD. SAAID merupakan penulis lirik lagu tema filem Gayong yang berjudul Malam Nestapa. Lagu ini digubah oleh Leonard Yeap dan dinyanyikan oleh Nikki Palikat.